
Semalam, Ahli Parlimen pembangkang itu memaklumkan di Dewan Rakyat diberikan notis SPRM untuk dirakam percakapan berhubung dakwaan diugut dan ditawar habuan supaya menyokong Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Dalam surat dihantar kepada seorang pegawai kanan penguat kuasa SPRM, firma guaman Chetan Jethwani berkata Seksyen 7 Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 memperuntuk “kekebalan ahli daripada prosiding sivil atau jenayah bagi apa-apa jua yang dilakukan atau dikatakan di hadapan Majlis (Dewan Rakyat).”
“Kami dengan hormatnya meminta anda mengkaji had bidang kuasa SPRM apabila mahu menyiasat kenyataan dibuat Ahli Parlimen, termasuk anak guam kami di Dewan Rakyat,” kata prinsipal firma, Chetan Jethwani dalam surat dilihat FMT.
“Notis dikeluarkan kepada anak guam kami melangkaui bidang kuasa SPRM dan melanggar serta campur tangan bidang kuasa Parlimen, dan seperti menghina Dewan Rakyat dan Ahli Parlimen.
“Akta Dewan Parlimen (Keistimewaan dan Kuasa) 1952 digubal bagi menegakkan pengasingan kuasa dan kebebasan Ahli Parlimen untuk bercakap dan berbahas di Parlimen,” menurut surat itu.
Surat itu turut menyebut, “tindakan anda menceroboh dan/atau melanggar prinsip pengasingan kuasa dan konsep demokrasi berparlimen, dan membuka pintu kepada pegawai penguat kuasa memberikan sebarang alasan untuk melanggar hak dan keistimewaan dan kekebalan Ahli Parlimen pada masa depan.”
Chetan berkata, Wan Saiful “tiada isu” bekerjasama dengan SPRM jika tindakan mereka selaras undang-undang.
Katanya, dia telah menghantar salinan surat berkenaan kepada pegawai tertinggi SPRM dan Speaker Dewan Rakyat Johari Abdul, memandangkan perkara tersebut ” serius dan memberi kesan bahaya” terhadap Parlimen sebagai institusi.
Pada 28 Feb, Wan Saiful memberitahu Dewan Rakyat beliau dihubungi beberapa kali melalui telefon oleh individu tidak dikenali, yang mana selepas itu ditemuinya.
Wan Saiful mendakwa, sekiranya menyatakan sokongan kepada perdana menteri beliau akan mendapat peruntukan RM1.7 juta untuk kawasan Parlimen diwakilinya.
Wakil rakyat Bersatu itu mendakwa cubaan memujuknya mengalih sokongan timbul selepas beliau berdepan perbicaraan melibatkan 18 pertuduhan pengubahan wang RM5.59 juta, pada Oktober tahun lalu.
Dakwaan Wan Saiful itu membangkitkan ketidakpuasan hati dalam kalangan Ahli Parlimen kerajaan, dengan Ahli Parlimen Jelutong RSN Rayer mendesak laporan dibuat kepada SPRM.
Semalam, Wan Saiful memberitahu Dewan Rakyat beliau tertekan selepas diberikan notis SPRM. Timbalan Speaker Ramli Noor memberi maklum balas supaya wakil rakyat itu segera membuat laporan polis.
Ramli berkata, mengikut Perkara 63 Perlembagaan Persekutuan yang merujuk keistimewaan Parlimen, apa dicakap di Dewan Rakyat tidak tertakluk kepada undang-undang sivil melainkan jika di luar Parlimen.
Pada 4 Mac, Ketua Pesuruhjaya SPRM Azam Baki berkata pihaknya memberi tempoh seminggu kepada Wan Saiful membuat laporan berkait dakwaannya.
Dalam laporan Bernama, Azam berkata sesiapa mendakwa ditawar rasuah tertakluk kepada Seksyen 25 Akta SPRM 2009 untuk melaporkannya segera.