Bas pelancong Thai: Kelantan akan mohon temujanji dengan Loke

Bas pelancong Thai: Kelantan akan mohon temujanji dengan Loke

Exco Kamarudin Nor dilapor berkata larangan itu untuk beri peluang kepada pengusaha tempatan namun bas tidak mencukupi.

Menteri Loke Siew Fook berkata kerajaan negeri boleh meminta kerajaan mengkaji dasar berkaitan bas pelancong dari Thailand. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Kerajaan Kelantan akan menulis kepada Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook memohon pertemuan diadakan untuk membincangkan larangan ke atas bas pelancongan dari Thailand memasuki negeri-negeri di sempadan.

Exco Pelancongan, Kebudayaan, Kesenian dan Warisan Kamarudin Md Nor menjelaskan bahawa terdapat kesilapan dalam laporan terdahulu yang melaporkan surat berkenaan sudah diutus.

“Ianya sedang diuruskan untuk memohon temujanji dengan menteri mengenai isu tersebut. Insya-Allah Ahad ini pejabat saya akan hantar surat itu,” katanya kepada FMT.

Terdahulu, Harian Metro melaporkan kerajaan negeri sudah menghantar surat kepada Kementerian Pengangkutan dan kedua-dua pihak akan bertemu untuk membincangkan isu ini.

Kamarudin dilapor berkata pertemuan itu nanti akan membabitkan Kelantan, Perlis, Kedah, dan Perak.

Beliau dipetik sebagai berkata larangan itu untuk memberi peluang kepada pengusaha pengangkutan tempatan namun bas tidak mencukupi.

Menurut beliau lagi, larangan ke atas bas itu dikeluarkan oleh Agensi Pengangkutan Awam Darat (Apad).

Dalam pada itu, Loke berkata negeri-negeri yang bersempadan dengan Thailand boleh menulis untuk meminta kerajaan mengkaji dasar berkenaan.

“Ada pelbagai isu teknikal yang perlu diatasi lah termasuk dari segi pelesenan pemandu dan sebagainya. Jadi itu perlu dikaji dengan lebih mendalam sebelum sesuatu dasar itu diubah,” katanya kepada pemberita selepas majlis serahan kontrak antara Railway Assets Corporation (RAC) dan SMH Rail Sdn Bhd.

Seorang pegawai Loke memberitahu FMT bahawa dasar itu dikuatkuasakan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.