
“Cuba bandingkan beliau dengan penyandang (menteri dalam negeri) terdahulu, boleh lihat perbezaan yang ketara,” kata Ahli Parlimen Bayan Baru itu dalam catatan di X.
Beliau berkata, walaupun ramai terpaksa menunggu berdekad-dekad untuk mendapatkan kewarganegaraan, hanya Saifuddin yang memiliki iltizam politik untuk menyelesaikan masalah itu dengan “kadar dan keazaman yang menakjubkan”.
Daripada 59,000 kes melibatkan golongan tanpa kerakyatan, Saifuddin berjaya menyelesaikan 35,000 kes, atau 59.3%.
Mengenai isu kewarganegaraan bagi anak-anak yang dilahirkan oleh ibu rakyat Malaysia di luar negara, Sim berkata, Saifuddin berjaya meyakinkan Majlis Raja-Raja serta kerajaan negeri Sabah dan Sarawak untuk menyokong reformasi perlembagaan berhubung perkara itu.
“Kita jujurlah, tiada siapa sukakan menteri dalam negeri. Jawatan itu tidak akan menjadi popular. Tetapi, kita harus adil dengan Saifuddin,” katanya.
Beliau berkata demikian sebagai respons terhadap komentar kolumnis dan wartawan veteran P Gunasegaram yang diterbitkan oleh Malaysiakini bertajuk “Why Saifuddin is unfit to be home minister”.
Mengulas cadangan pindaan perlembagaan berhubung kewarganegaraan, Gunasegaram berkata, Saifuddin “tidak berbuat apa-apa berhubung pindaan besar lain dicadangkan oleh PKR selama beberapa dekad”, yang turut terkandung dalam manifesto parti itu untuk beberapa pilihan raya.
“(Pindaan yang dicadangkan) akan membatalkan peruntukan drakonian dalam undang-undang yang digunakan pada masa lalu untuk menahan pemimpin pembangkang, memenjarakan dan menindas ahli politik dan pemimpin NGO, serta menyekat perbincangan yang bebas dan adil,” katanya.
Beliau memetik pemansuhan atau perubahan dalam Akta Mesin Cetak dan Penerbitan; Akta Komunikasi dan Multimedia; Akta Kesalahan Keselamatan (Langkah-Langkah Khas) (Sosma); Akta Hasutan; Akta Rahsia Rasmi; dan “sebilangan besar peruntukan kuno dan menindas bawah Kanun Keseksaan”.
Gunasegaram juga berkata, Saifuddin tidak mengendahkan aduan daripada Badan Peguam, kumpulan masyarakat sivil, dan penyokong kerajaan mengenai cadangan pindaan perlembagaan berhubung kewarganegaraan.
“Justeru, beliau akan menyebabkan PKR kehilangan sokongan golongan liberal dan moderat semua kaum, yang bukan sahaja menuntut layanan lebih baik terhadap individu tidak bernegara dengan memberi mereka kerakyatan apabila layak, tetapi juga pindaan/pemansuhan undang-undang sedia ada untuk lebih mempertanggungjawabkan kerajaan dan membolehkan perbincangan dan perbahasan yang lebih meluas mengenai isu-isu penting tanpa berdepan sebarang bentuk sekatan oleh kerajaan,” katanya.