Perlumbaan Formula E di Malaysia, presiden MAM ‘mengaku tersilap’

Perlumbaan Formula E di Malaysia, presiden MAM ‘mengaku tersilap’

Mokhzani Mahathir berkata pandangan beliau adalah berdasarkan kenyataan 'betulkan fakta' oleh Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh di Dewan Rakyat semalam.

Presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) Mokhzani Mahathir berkata beliau menanti penganjuran perlumbaan Formula E di Malaysia.
PETALING JAYA:
Presiden Persatuan Permotoran Malaysia (MAM) Mokhzani Mahathir berkata beliau “mengaku tersilap” selepas mendapat maklumat mengenai perancangan Formula E untuk menganjurkan perlumbaan final di Kuala Lumpur pada tahun depan.

Dalam satu surat kepada Editor FMT Frankie D’Cruz, Mokhzani berkata:

“Padangan saya adalah berdasarkan kenyataan Hannah Yeoh (menteri belia dan sukan) semalam.

“Pada bacaan pertama artikel anda pada 13 Mac, MAM memaklumkan (kepada Yeoh) bahawa MAM tidak berhubung dengan mana-mana pihak bagi membincangkan penganjuran Formula E.”

Yeoh ketika di Dewan Rakyat semalam berkata laporan FMT tersebut adalah berdasarkan “khabar angin” dan bukannya fakta. Katanya, MAM akan mengeluarkan kenyataan untuk “membetulkan fakta” dalam laporan itu.

Bagaimanapun, dalam surat Mokhzani, beliau mengakui laporan FMT berhubung perkara itu adalah betul.

“Saya mengaku tersilap selepas mendapat maklumat lanjut daripada Sport Tech Holdings menerusi artikel FMT hari ini, 14 Mac,” katanya dalam surat itu.

Dalam surat itu, MAM, badan rasmi untuk sukan permotoran di negara ini mengakui Formula E “boleh dan membuat perbincangan dengan individu, entiti swasta, syarikat, dan kerajaan dalam mempromosikan perlumbaan mereka”.

“MAM mengucapkan semoga berjaya kepada Sport Tech Holdings dalam usaha mereka untuk mendapatkan Formula E kembali ke Malaysia,” katanya.

Mokhzani juga berkata beliau tidak sabar menunggu perlumbaan Formula E di Malaysia sekali gus merancakkan pasaran kenderaan elektrik (EV) yang sedang berkembang di negara ini.

Katanya, Malaysia “jauh lebih maju”, setelah menjadi tuan rumah Putrajaya ePrix kira-kira 10 tahun lalu dan mempunyai sumber untuk menjadi tuan rumah apa-apa acara permotoran, konsert, atau persidangan.

“Ketika ini EV menjadi pilihan utama banyak pembeli kereta, dan ini adalah masa yang tepat untuk melihat semula Malaysia menjadi tuan rumah e-Prix,” kata bekas pengerusi Litar Antarabangsa Sepang itu.

Apa yang benar-benar akan menjadikannya hebat, apabila sektor awam dan swasta bekerjasama serta berkongsi tanggungjawab menjadi tuan rumah untuk memastikannya berjaya, tambahnya.

Malaysia menjadi tuan rumah Putrajaya ePrix, perlumbaan dalam siri Formula E pada 2014 dan 2015, di litar jalanan yang direka khas di Putrajaya.

Semalam, FMT melaporkan bahawa Putrajaya belum menjawab pelawaan Formula E untuk Kuala Lumpur menjadi tuan rumah Formula E-Prix Grand Finale 2025 dan menjadi bandar tuan rumah perlumbaan terakhirnya setiap tahun sehingga 2030.

Rakan kongsi tempatan Formula E mengesahkan sedang menanti maklum balas Pejabat Perdana Menteri untuk membincangkan penganjurannya.

Terdahulu hari ini, FMT melaporkan Ketua Pegawai Eksekutif Formula E, Jeff Dodds dalam surat bertarikh 26 Feb kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim perlumbaan itu membawa “manfaat ekonomi yang berimpak dan berpanjangan”.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.