Harga naik tak halang orang ramai ke bazar Ramadan

Harga naik tak halang orang ramai ke bazar Ramadan

Peniaga berkata, mereka berusaha memastikan harga ditawarkan berpatutan.

Ramai mendapati harga makanan dan minuman kegemaran mereka di pelbagai bazar Ramadan meningkat.
PETALING JAYA:
Kenaikan harga tidak menghalang orang ramai terus membanjiri bazar Ramadan di sekitar Lembah Klang tahun ini.

Faizal Hashimi, yang mengunjungi bazar Ramadan di Kampung Baru, Kuala Lumpur setiap tahun, berkata dia sanggup berbelanja lebih untuk membeli makanan kegemarannya.

Faisal Hashimi.

“Tahun lepas, harga minuman sekitar RM3, tetapi sekarang naik kepada RM4.

“Jelas sekali harga telah naik. Rakan saya yang berniaga memberitahu mereka terpaksa menaikkan harga kerana kenaikan cukai jualan dan perkhidmatan daripada 6% kepada 8%. Jadi, sebagai pelanggan, kita perlu faham,” katanya kepada FMT.

Devan Thiran Barathan pula mendapati harga roti john melonjak sehingga RM10 daripada RM8 tahun lepas, tetapi dia masih sanggup membelinya asalkan kualitinya dikekalkan.

Devan Thiran Barathan.

“Sudah pasti berlaku kenaikan harga berbanding tahun lepas kerana kos bahan mentah meningkat. Sekarang ekonomi kita juga agak lembap.”

Sarima Ahmad.

Sarima Ahmad yang sering ke bazar Seksyen 17 di sini menjangkakan ramai pelanggan lebih berhati-hati dalam berbelanja tahun ini.

 

“(Kenaikan harga) akan memberi kesan kepada golongan berpendapatan rendah, lebih-lebih lagi anak sudah kembali ke sekolah. Sambutan Hari Raya Aidilfitri akan membebankan mereka.”

Mengapa harga naik?

Beberapa peniaga berkata, mereka terpaksa menaikkan harga kerana kos bahan utama semakin meningkat.

Rahman Rahim, 59, yang membuka gerai di bazar Seksyen 17, terpaksa menaikkan harga sebanyak 15% hingga 20%, dengan air tembikai, plum masam, jagung dan teh ais cincau sekitar RM4 segelas.

“Saya rasa pelanggan faham kenaikan harga berlaku di mana-mana. Ada sedikit kenaikan (harga) untuk apa saja yang kami jual, sama ada makanan atau minuman.”

Peniaga murtabak yang hanya mahu dikenali sebagai Ipah, menyifatkan sedikit kenaikan harga makanannya disebabkan kos bahan seperti tepung dan bawang lebih tinggi.

“Saya tidak mahu menaikkan harga terlalu banyak. Saya akan cuba kekalkannya kerana bersimpati dengan pelanggan, terutama mereka yang mungkin melalui masa sukar,” kata peniaga berusia 40 tahun itu.

Murtabak ayam dan daging lembu yang dijualnya kini berharga RM6 sekeping, meningkat RM1 berbanding tahun lepas dan dia berharap dapat mengekalkan harga sama tahun depan.

Syakila Jaafar, 44, yang mengusahakan gerai di bazar Ramadan Kampung Baru sejak lima tahun lalu berkata, dia memilih untuk mengekalkan harga roti bomnya pada RM2 sekeping memandangkan cabaran ekonomi yang menjejaskan pelanggannya.

“Saiznya juga kekal sama. Walaupun untungnya kurang, tetapi kami memutuskan untuk mengekalkan harga tahun lepas kerana kasihan kepada pelanggan.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.