
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa, berkata Pembangunan Kampong Bharu (PKB) telah menyediakan pelan induk perancangan dan pembangunan semula kawasan itu untuk tempoh 20 tahun akan datang.
Katanya, Pelan Induk Pembangunan Kampong Bharu 2040 (PIPKB 2040) akan menjadi rangka dan panduan utama dalam pembangunan serta pembaharuan semula perkampungan itu.
“Hala tuju dasar untuk membangunkan semula Kampung Baru akan dikekalkan selaras pelan induk sedia ada.
“PKB juga akan memastikan hak dan kepentingan orang Melayu di Kampung Baru terpelihara. Percayalah, kerajaan akan berusaha mengangkat Kampung Baru sebagai bandar Melayu yang tersergam dengan megah di Kuala Lumpur,” katanya ketika sesi jawab lisan di Dewan Rakyat.
Menurutnya, antara panduan pembangunan Kampung Baru adalah nilai kebudayaan dan pemuliharaan warisan alam bina, perancangan inovatif dalam pembangunan tanah, pemuliharaan dan penjanaan semula kawasan bagi membentuk persekitaran berkualiti dan berdaya huni serta menjaga kepentingan pemilikan orang Melayu.
Zaliha berkata demikian menjawab soalan Jamaludin Yahya (PN-Pasir Salak) yang bertanya sama ada kerajaan bercadang menjadikan Kampung Baru di Kuala Lumpur, digazetkan sebagai tapak Unesco.
Mengulas lanjut, beliau berkata bagi mengangkat sesuatu kawasan sebagai kawasan warisan perlu melalui tiga peringkat iaitu Jabatan Warisan Negara, diikuti oleh warisan negara, yang diberikan oleh Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya, dan kemudian barulah warisan dunia, yang diberikan oleh Unesco.
“Pengiktirafan warisan di ketiga-tiga peringkat ini mempunyai beberapa kriteria perlu dipenuhi dan sesetengahnya tidak dapat dipadankan dengan ciri-ciri semasa Kampung Baru,” katanya.