Sedia jemput pembangkang sertai Puspal bincang konsert artis antarabangsa, kata Fahmi

Sedia jemput pembangkang sertai Puspal bincang konsert artis antarabangsa, kata Fahmi

RSN Rayer (PH-Jelutong) mencadangkan kerajaan menjemput pembangkang untuk memberi cadangan berkaitan penganjuran konsert.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata penganjuran konsert artis antarabangsa terkenal diakui memberi limpahan ekonomi kepada negara. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kerajaan bersedia mempertimbangkan cadangan menjemput pembangkang menganggotai Jawatankuasa Permohonan Penggambaran Filem Asing dan Persembahan Artis Luar Negara (Puspal) bagi memberi pandangan berkaitan penganjuran konsert artis antarabangsa yang sering dibantahnya terutama oleh PAS.

Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata ketika ini keanggotaan badan itu membabitkan 16 kementerian dan agensi termasuk Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM).

“Saya tak boleh jawab bagi mana-mana parti tapi saya kira kita boleh ambil pertimbangan cadangan itu kerana memang dari segi limpahan ekonomi (penganjuran konsert artis antarabangsa) tidak boleh dinafikan.

“Sebagai contoh tular dalam media sosial anak muda usahakan pelancong dari Malaysia ke Singapura bagi acara-acara termasuk konsert Taylor Swift dengan pendapatan mencecah RM30,000. Ini kesan limpahan ekonomi yang serius, yang boleh diambil kira secara menyeluruh,” katanya di Dewan Rakyat.

Beliau mengulas cadangan RSN Rayer (PH-Jelutong) supaya wakil pembangkang dijemput menyertai PUSPAL bagi memberi pandangan konstruktif, rentetan daripada isu konsert Swift di Singapura sehingga menimbulkan polemik.

“(Bagaimanapun) saya keliru Bersatu sokong dan PAS bantah? Nak (minta) jemput mereka dalam PUSPAL supaya kita dapat berunding dengan mereka untuk konsert-konsert yang bakal diadakan,” kata Rayer.

Pada 6 Mac lalu Timbalan Presiden Bersatu Ahmad Faizal Azumu menganggap negara mengalami kerugian jika terus gagal memanfaatkan ruang yang ada untuk membolehkan artis antarabangsa mengadakan persembahan di negara ini.

Menurut bekas menteri belia dan sukan itu, ramai penghibur carta atasan boleh dibawa untuk beraksi di negara ini melalui kaedah sedia ada namun langkah tersebut tidak dilakukan.

Bahkan bekas menteri besar Perak itu menggesa langkah lebih giat digerakkan untuk membolehkan selebriti terkenal datang membuat persembahan di negara ini.

PAS, rakan Bersatu dalam Perikatan Nasional (PN) pula konsisten mengkritik penganjuran konsert artis antarabangsa di negara ini seperti Coldplay dan Ed Sheeran.

Malah, Ketua Penerangannya Ahmad Fadhli Shaari ketika menjadi ketua pemuda pernah menyifatkan penganjuran konsert bertalu-talu sebagai kerja gila yang boleh membawa kemurkaan Allah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.