Pesawat terhempas di Kapar pecah di udara, kata BSKU

Pesawat terhempas di Kapar pecah di udara, kata BSKU

Biro Siasatan Kemalangan Udara berkata pesawat ringan itu mempunyai rekod penyelenggaraan yang 'tidak teratur' selain melebihi berat ketika berlepas.

Gambar fail menunjukkan pesawat ringan Gabriel 160 yang dikeluarkan syarikat Blackshape Aircraft dari Itali. (Gambar Blackshape)
PETALING JAYA:
Pesawat ringan Blackshape BK 160TR yang terhempas di ladang kelapa sawit berhampiran Kapar pada 16 Feb lalu yang mengorbankan seorang juruterbang dan penumpang, kemungkinan pecah di udara, kata Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU).

“Taburan serpihan sekitar kawasan itu mencadangkan ada bahagian struktur besar terpisah dari pesawat ketika penerbangan, sebelum terhempas di ladang kelapa sawit. Hampir keseluruhan sayap kanan tercabut,” kata BSKU dalam laporan awal kemalangan yang disiarkan hari ini.

Menurut laporan itu, tiada tanda kebakaran sebelum atau selepas terhempas pada mana-mana serpihan yang dijumpai di lokasi. Kekuatan impak ketika terhempas menyebabkan mustahil untuk selamat.

Laporan juga menyatakan bahawa pesawat itu dikenakan arahan larangan terbang dan jadual penyelenggaraan juga didapati “tidak teratur”, kadang-kadang dilaksanakan oleh juruteknik tidak berlesen.

Katanya, larangan terbang pada mulanya dilaporkan susulan siasatan pengeluar terhadap punca masalah penunjuk minyak.

Laporan itu menyatakan bahawa penyelenggaraan tidak teratur termasuk pemasangan bahagian pesawat yang tidak disahkan atau diperakui.

Pemasangan bahagian pesawat dan penyelenggaraan pesawat juga dilakukan oleh organisasi penyelenggaraan atau individu yang tidak mendapat kebenaran atau tidak mempunyai kelayakan yang mencukupi untuk menjalankan aktiviti penyelenggaraan.

Laporan itu menambah terdapat pemasangan tanpa kebenaran termasuk pengubahsuaian yang dilakukan oleh juruterbang, tetapi ia masih dalam proses siasatan samada mempunyai kaitan dengan kemalangan tersebut.

“Terdapat juga bukti bahawa pesawat melebihi berat maksimum untuk berlepas iaitu seberat 850kg,” kata BSKU.

Juruterbang berumur 30 tahun merupakan pengajar penerbangan di Air Adventure Flying Club. Kata BSKU, pengajar itu mempunyai sijil untuk mengajar menggunakan pesawat Piper PA28 dan Cessna 172, tetapi bukan Blackshape BK 160TR.

Sementara itu, penumpang berumur 42 tahun adalah pelajarnya dan tidak pernah terbang dengan Blackshape BK 160TR. BSKU berkata ia masih menyiasat sama ada perkara itu mempunyai pengaruh terhadap kemalangan tersebut.

Katanya, perkara itu dan penemuan lain akan dikeluarkan dalam laporan akhirnya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.