
Formula E difahamkan mempelawa Kuala Lumpur menjadi penganjur finalnya setiap tahun sehingga 2030, tetapi kerajaan belum memberi jawapan terhadap tawaran itu.
Menurut sumber, Ketua Pegawai Eksekutif Formula E, James Dodd berhasrat menemui Perdana Menteri, Anwar Ibrahim bulan lalu untuk membincangkan acara itu dan manfaatnya.
Bagaimanapun, kos penganjuran acara itu, yang kini masuk musim ke-10, tidak diketahui.
Berita berhubung kemungkinan Malaysia terlepas peluang menganjurkan acara itu menyusul kontroversi berhubung cubaan penganjuran Sukan Komanwel 2026 di Kuala Lumpur.
Ramai menganggap cadangan Majlis Olimpik Malaysia itu boleh memudaratkan ekonomi.
Rata-rata berpandangan kerajaan wajar menganjurkan acara lebih “segar” dan mempunyai daya tarikan global, bukannya yang membebankan kewangan.
Sumber berkata, Formula E perlu membuat keputusan tidak lama lagi mengenai tuan rumah final dalam kalendarnya.

Ini kerana penyertaan perlu disahkan selewat-lewatnya Jun ini untuk membolehkan persediaan mencukupi bagi kalendar Formula E 2025.
“Walaupun Malaysia mendapat tawaran dahulu, Thailand nampaknya akan memperoleh hak penganjuran itu,” kata sumber.
Dodd dalam catatan di X berkata, beliau menemui Perdana Menteri Thailand, Srettha Thavisin di Paris baru-baru ini untuk membincangkan perkara itu.
“Kami membincangkan pertumbuhan pesat kenderaan elektrik di Thailand dan bagaimana Formula E mungkin dapat menyokong rancangannya yang bercita-cita tinggi,” kata Dodd.
Rakan kongsi tempatan Formula E, Sports Tech Holdings, enggan mengulas.
Adakah ini akan menjadi satu lagi halangan dalam usaha Malaysia mempromosikan pelancongan, sukan dan hiburan?
Pada 2022, negara hampir mendapat peluang menganjurkan konsert penyanyi terkenal Taylor Swift, namun terlepasnya kepada Singapura.
Swift mengadakan enam konsert secara eksklusif di Singapura dari 2 hingga 9 Mac lalu, menimbulkan kegusaran dalam kalangan jiran serantaunya.
Singapura dilihat akan menjadi tumpuan sekali lagi dengan kumpulan rock legenda, Deep Purple dijadualkan membuat persembahan di pesta rock di sana pada Mei nanti.
Formula kemenangan
Formula E yang secara rasminya dikenali Kejuaraan Dunia Formula E ABB FIA, ialah perlumbaan sukan permotoran kereta elektrik “open-wheel” dengan satu tempat duduk.
Siri perlumbaan itu, yang dianggarkan mempunyai peminat lebih 380 juta, ialah kelas pertandingan tertinggi untuk kereta lumba satu tempat duduk berkuasa elektrik.
Kejuaraan sulungnya diadakan di Beijing pada 2014. Venue lain termasuk Sao Paolo, Monaco, Tokyo dan Shanghai.
Difahamkan, Formula E dan Sports Tech Holdings sedang mencari litar sesuai di Kuala Lumpur untuk perlumbaan yang dijadualkan berlangsung pada Julai tahun depan.
Sumber yang tahu unjuran ekonomi dan manfaat acara itu bagi Malaysia berkata: “Prospeknya cerah dan pelaburan oleh kerajaan adalah munasabah.”
Menurutnya, kejohanan itu diramalkan akan menyuntik kira-kira RM160 juta dalam ekonomi tempatan pada tahun pertama penganjurannya melalui perbelanjaan pengunjung serta mewujudkan lebih 10,000 pekerjaan.
Sepanjang sedekad akan datang, ia diunjurkan menyumbang sekurang-kurangnya RM7 bilion kepada ekonomi.
Selain keuntungan kewangan langsung, acara itu menawarkan platform untuk penganjur menunjukkan komitmen mereka terhadap pembangunan bandar lestari, mampu mempercepatkan penggunaan kenderaan elektrik dan pemindahan teknologi.