Kementerian Pengangkutan taja baki caruman Perkeso pemandu bas, teksi

Kementerian Pengangkutan taja baki caruman Perkeso pemandu bas, teksi

Sebanyak RM1.165 juta diperuntukkan untuk melengkapkan caruman SKSPS bagi 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah.

Kementerian Pengangkutan akan menampung baki 10% caruman SKSPS bagi pemandu-pemandu teksi dan bas, iaitu RM23.30 setiap seorang. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Kementerian Pengangkutan memperuntukkan RM1.165 juta untuk melengkapkan caruman Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS) bagi 50,000 pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang bekerja sendiri.

Menteri Pengangkutan Loke Siew Fook berkata, jumlah itu untuk membiayai baki caruman sebanyak 10%, atau RM23.30, bagi melayakkan pemandu berkenaan mendapat perlindungan selama setahun.

Tajaan caruman ini akan memberi manfaat kepada seramai 35,000 pemandu teksi dan kereta sewa, serta 15,000 pemandu bas sekolah di seluruh negara, tambahnya.

“Tajaan ini terbuka kepada pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah yang mempunyai kad pemandu serta lesen Perkhidmatan Kenderaan Awam (PSV) masih aktif,” katanya, lapor Bernama.

“Baki 10% (caruman SKSPS) ditaja Kementerian Pengangkutan melalui hasil penjualan nombor pendaftaran istimewa ‘GOLD’, (iaitu) sejumlah RM1.165 juta untuk dimanfaatkan 50,000 individu.”

Loke berkata demikian selepas majlis pelancaran tajaan caruman SKSPS hari ini, yang turut dihadiri Menteri Sumber Manusia Steven Sim.

Dalam Belanjawan 2024, kerajaan memperuntukkan RM100 juta untuk Geran Padanan Caruman SKSPS yang dapat memanfaatkan 500,000 individu bekerja sendiri, dengan insentif caruman ditanggung kerajaan sebanyak 90%.

Inisiatif itu dapat meringankan beban pencarum yang hanya perlu membayar baki 10% untuk perlindungan selama setahun.

Loke berkata, sebanyak RM17 juta dijana melalui penjualan nombor pendaftaran “GOLD” yang bidaannya dibuka pada 1 Feb, sempena sempena sambutan jubli emas Hari Wilayah Persekutuan ke-50.

Katanya, hasil perbincangan dengan Kementerian Kewangan, sebanyak RM8.5 juta dikembalikan kepada Kementerian Pengangkutan untuk melaksanakan pelbagai inisiatif termasuk tajaan caruman.

Selain pemberian tajaan sebanyak 100%, kata Loke, satu lagi elemen yang penting bagi memastikan liputan perlindungan SKSPS yang luas bagi pemandu teksi, kereta sewa dan bas sekolah adalah pendaftaran secara automatik dalam skim itu.

Sementara itu, Sim berkata, Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) menyasarkan penyertaan sekurang-kurangnya 500,000 pencarum dalam SKSPS tahun ini, yang memberikan faedah perubatan, faedah hilang upaya sementara serta hilang upaya kekal.

Beliau berkata, berdasarkan statistik Jabatan Perangkaan Malaysia pada suku ketiga 2023, seramai 2.98 juta rakyat Malaysia bekerja sendiri.

Bagaimanapun, katanya, hasil semakan rekod caruman SKSPS setakat 3 Mac lepas mendapati hanya 14.56%, bersamaan 433,881 pencarum aktif bagi individu bekerja sendiri, direkodkan Perkeso.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.