
Timbalan Ketua Pengarah Kastam (Penguatkuasaan dan Pematuhan) Sazali Mohamad, berkata dalam rampasan pertama pada 22 Feb, dua juta batang rokok putih dibuat selepas pihaknya menyerbu sebuah gudang tidak berpenghuni di Seri Kembangan.
“Menerusi serbuan ini, kita temukan dua juta batang rokok dianggar bernilai RM1.33 juta. Semua barang rampasan telah disita dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan Pelabuhan Utara untuk siasatan lanjut,” katanya menurut Bernama pada sidang media di Pejabat Kastam Pelabuhan Utara, Klang.
Beliau berkata, rampasan kedua pada 29 Feb pula dilakukan menerusi satu serbuan terhadap sebuah lori di Lebuhraya Karak–Kuala Lumpur, yang berjaya menemukan sejumlah 3.9 juta batang rokok putih dengan nilai dianggarkan RM3.01 juta.
Sazali berkata, seorang lelaki warga tempatan yang merupakan pemandu lori terbabit turut ditahan dan kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) dan Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967 kerana menyimpan dan mengangkut barang larangan.
Dalam kes berlainan, Sazali berkata Bahagian Penguatkuasaan Kastam Zon Tengah telah menahan empat kontena mengandungi bateri terpakai dianggarkan bernilai RM1.17 juta, dipercayai tidak mempunyai permit di Pelabuhan Barat, pada 28 Feb.
Beliau berkata, kontena itu ditahan selepas imbasan terhadap semua kontena menunjukkan imej meragukan serta tidak konsisten deskripsi dagangan diikrar.
Modus operandi digunakan pihak sindiket adalah dengan mengikrar dagangan sebagai Aluminium Flakes melalui Borang Kastam 1 bagi mengelak dikesan oleh pihak kastam, katanya.
Sazali berkata, sehari selepas itu, dua lagi kontena mengandungi rokok, minuman keras, dan sisa elektronik bernilai RM1.52 juta turut ditahan di pelabuhan sama selepas cubaan mengelirukan pihak berkuasa gagal.
“Modus operandi yang digunakan adalah sama iaitu mengikrar dagangan sebagai Copper Alloy melalui borang manifes bagi mengelak dikesan pihak kastam”, katanya dan menambah kedua-dua kes disiasat di bawah Seksyen 135(1)(a) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan denda tidak lebih RM500,000 atau penjara tidak lebih lima tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.