
Menteri Digital Gobind Singh Deo berkata, syarikat itu telah memberikan notifikasi sewajarnya kepada JPDP bagi mengesahkan tiada ketirisan data peribadi hasil daripada siasatan forensik digital yang telah dilaksanakan.
Tambahnya, JPDP juga telah melaksanakan siasatan susulan notifikasi Maxis dan mendapati tiada data peribadi terlibat berdasarkan sampel data yang dikemukakan.
“Susulan daripada ancaman oleh R00TK1T untuk menutup rangkaian Maxis, syarikat itu telah melaksanakan tindakan proaktif bagi menyemak kesahihan dakwaan ini dan mendapati bahawa hanya portal Maxis Interactive Retail Assistant (MIRA) Queue Management System di satu cawangan Maxis terkesan.
“Sistem ini merupakan sistem ‘standalone’ dan tidak mempunyai sebarang sambungan kepada mana-mana sistem kritikal Maxis,” katanya.
Gobind berkata demikian pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat bagi menjawab pertanyaan Chong Zhemin (PH-Kampar) berhubung ancaman kumpulan R00TK1T untuk menutup rangkaian Maxis.
Beliau berkata, CyberSecurity Malaysia, JPDP dan Agensi Keselamatan Siber Negara (Nacsa) sentiasa menjalankan pemantauan secara berterusan untuk memastikan keselamatan data dan juga prasarana digital negara.
Katanya, kementeriannya akan terus bekerjasama dengan Nacsa dan agensi siber luar negara untuk menjejak dan mengambil tindakan terhadap pelaku ancaman.
Sementara itu, Gobind berkata, pihaknya sentiasa memastikan kepakaran dalam sektor itu berada pada tahap memuaskan dan bersedia menghadapi ancaman pada masa akan datang.
Katanya, antara langkah yang diambil termasuk melaksanakan beberapa program untuk meningkatkan pembangunan kapasiti dan menawarkan biasiswa daripada EC-Council sebanyak RM5 juta kepada 2,000 orang.
“Kita juga akan bekerjasama dengan universiti dan syarikat swasta dalam mengukuhkan lagi aspek ini,” katanya menjawab soalan tambahan daripada Nurul Amin Hamid (PN-Padang Terap) mengenai langkah kementerian untuk meningkatkan jumlah pakar keselamatan siber.