DAP ‘pelbagai budaya’ wajib pertahan bak kut teh, kata penganalisis

DAP ‘pelbagai budaya’ wajib pertahan bak kut teh, kata penganalisis

Oh Ei Sun berkata, DAP akan dianggap 'lemah' dan tunduk kepada ketuanan kaum serta agama.

Penganalisis James Chin berkata, jika DAP tidak mempertahankan pendiriannya mengenai bak kut teh, penyokong Cina akan menganggapnya menyerah kalah. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang penganalisis politik mengaitkan pendirian DAP untuk menyenaraikan bak kut teh sebagai makanan warisan negara dengan imej pelbagai budayanya dan berkata parti itu tiada pilihan kecuali mempertahankan langkah itu atau berisiko dikritik penyokongnya.

Oh Ei Sun dari Institut Hal Ehwal Antarabangsa Singapura berkata, penyokong DAP mengharapkan kenyataan lantang daripada parti itu sebagai respons terhadap gesaan untuk “monoculturalism” atau penguasaan budaya tunggal dalam masyarakat.

“Jika tidak, mereka (DAP) akan dianggap lemah dan tunduk kepada ketuanan kaum serta agama.

“Apabila wujud reaksi begitu kuat daripada ‘monoculturalism’, respons daripada pelbagai budaya juga perlu kuat, sekurang-kurangnya di mata penyokong mereka,” katanya kepada FMT.

Oh bagaimanapun berkata, pendirian DAP bukan didorong keinginan menenangkan penyokong, sebaliknya untuk mengelak dianggap tidak berkesan jika gagal mengambil pendirian tegas.

Bak kut teh yang dianggap ramai berasal dari Klang, diiktiraf secara rasmi oleh kerajaan sebagai hidangan warisan negara di Malaysia pada 23 Feb lalu.

Langkah itu dikritik segelintir pihak, termasuk Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Saleh yang berkata, kerajaan perlu mempertimbangkan sensitiviti rakyat sebelum membuat keputusan sedemikian.

Katanya, lebih baik mengangkat hidangan lain seperti nasi goreng Cina yang boleh dinikmati semua orang, tanpa mengira bangsa atau agama.

Pemimpin DAP pula berkata, bak kut teh tidak semestinya dibuat daripada daging babi.

Khamis lalu, Malaysiakini melaporkan veteran DAP Lim Kit Siang, Ahli Parlimen Klang V Ganabatirau, Ahli Parlimen Seputeh Teresa Kok, Ahli Parlimen Kepong Lim Lip Eng dan beberapa yang lain berkumpul untuk menikmati hidangan itu sebagai tanda sokongan terhadap keputusan kerajaan.

Untuk menekankan ia bukan hidangan daging babi secara eksklusif, mereka memilih versi ayam dan vegetarian, sebagai tambahan kepada pilihan daging babi tradisional.

James Chin dari Universiti Tasmania berkata, jika DAP tidak mempertahankan pendiriannya terhadap bak kut teh, penyokong Cinanya akan menganggapnya menyerah kalah.

“Senario ini menggambarkan dinamik politik tipikal di Malaysia.

“Sebelah pihak memulakan serangan, selalunya berdasarkan isu budaya atau agama, mendorong pihak lain segera mempertahankan kedudukan mereka, walaupun perlu mengambil pendirian tegas berhubung perkara itu.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.