Ahli fisio rugi lebih RM200,000 angkara pelaburan tak wujud

Ahli fisio rugi lebih RM200,000 angkara pelaburan tak wujud

Kejadian berlaku apabila wanita berusia 25 tahun tertarik menyertai skim pelaburan selepas melayari Facebook 13 Jan lalu.

Polis berkata mangsa memasukkan wang RM234,160 dengan 11 transaksi ke akaun bank diberikan suspek sebelum menyedari ditipu.
PETALING JAYA:
Seorang ahli fisioterapi wanita di Kuantan rugi RM234,160 selepas menjadi mangsa skim pelaburan tidak wujud.

Ketua Polis Pahang, Yahaya Othman, berkata kejadian berlaku apabila mangsa berusia 25 tahun tertarik menyertai skim pelaburan itu selepas melayari Facebook pada 13 Jan lalu.

Katanya, skim pelaburan itu konon menawarkan keuntungan lumayan sebelum mangsa menyertainya menerusi satu aplikasi diberikan suspek.

“Mangsa memasukkan wang berjumlah RM234,160 dengan 11 transaksi ke dalam akaun bank diberikan suspek bermula 15 Jan hingga 2 Mac lalu.

“Hasil siasatan mendapati sumber kewangan terbabit adalah wang simpanan mangsa dan pinjaman bank serta daripada kenalan. Bagaimanapun, mangsa mula menyedari ditipu selepas tidak menerima keuntungan seperti dijanjikan.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” katanya dalam kenyataan, menurut Berita Harian.

Berikutan itu, beliau menasihati orang ramai supaya sentiasa berwaspada dengan sindiket pelaburan tidak wujud.

“Jangan mudah terpengaruh dengan skim pelaburan yang menjanjikan keuntungan lumayan. Masyarakat juga diingatkan membuat semakan nombor akaun dan nombor telefon diterima melalui https://semakmule.rmp.gov.my terlebih dahulu sebelum membuat sebarang transaksi,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.