Warga asing dilarang berniaga di bazar Ramadan, Aidilfitri Johor

Warga asing dilarang berniaga di bazar Ramadan, Aidilfitri Johor

PBT di Johor tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan lesen perniagaan kecil kepada warga asing, kata exco.

(Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Warga asing dilarang menjalankan aktiviti perniagaan di tapak Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri di seluruh Johor.

Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Johor Mohd Jafni Shukor berkata, pihak berkuasa tempatan (PBT) tidak pernah dan tidak akan mengeluarkan lesen perniagaan kecil kepada warga asing.

“Warga asing pun tahu sebenarnya mereka tidak boleh berniaga sebab itu di peringkat PBT, khususnya dalam Greater Johor Bahru, kita sedang menguatkuasakan tindakan terhadap peniaga warga asing termasuk di Bazar Ramadan dan Bazar Aidilfitri,” katanya selepas melawat tapak Bazar Ramadan di Bandar Baru Uda, lapor Bernama.

Sehubungan itu, beliau meminta orang ramai melaporkan kepada pihak berkuasa sekiranya didapati terdapat warga asing berniaga di bazar agar tindakan denda dan rampasan barangan jualan dapat diambil.

Dalam pada itu, Mohd Jafni berkata, kesemua 16 PBT di Johor akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan (KKM) dalam memastikan peniaga di bazar Ramadan dan Aidilfitri mematuhi aspek kebersihan.

“Peniaga perlu mematuhi Akta Makanan 1983 bagi menjaga keselamatan dan kualiti makanan yang dijual,” katanya.

“Ini perkara biasa dan sepatutnya mereka maklum dengan perkara ini kerana majoriti daripada mereka peniaga di pasar malam, pasar pagi atau pasar tani.”

Sementara itu, Mohd Jafni berkata, kerajaan negeri meluluskan sebanyak 9,769 petak niaga melibatkan 182 lokasi Bazar Ramadan, dan 1,904 petak niaga bagi 25 lokasi Bazar Aidilfitri tahun ini.

Beliau menyeru peniaga agar mematuhi peraturan yang telah ditetapkan oleh PBT, termasuk larangan menjual barangan cetak rompak dan menjaga kebersihan tapak perniagaan masing-masing.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.