
Malaysiakini pada 6 Mac lalu memetik Menteri Pengangkutan, Loke Siew Fook sebagai berkata, polis bersetuju mengeluarkan data kemalangan jalan raya harian susulan peningkatan kadar kematian.
Loke dilaporkan berkata, lebih 6,600 orang maut dalam nahas jalan raya di Malaysia, tertinggi dalam tempoh lima tahun. Daripada jumlah itu, sebanyak 4,480 kematian membabitkan penunggang motosikal, purata 12 kematian sehari atau satu kematian setiap dua jam.
Tetapi, perunding keselamatan jalan raya, Karen Goonting berkata, penting untuk melaksanakan strategi difikirkan dengan baik yang terdiri daripada pelbagai langkah direka bagi mengurangkan kadar kematian jalan raya.
“Apa data nahas harian yang diterbitkan dan bagaimana ia dipersembahkan adalah penting.
“(Sekadar) memberikan jumlah kematian mengikut negeri atau kenderaan bermotor, jantina, punca dan sebagainya tanpa kempen perubahan sikap mengenai cara kematian boleh dikurangkan, mungkin tidak berkesan,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, program pendidikan keselamatan jalan raya dan advokasi awam serta program pemulihan pemandu, yang belum diperkenalkan di Malaysia, perlu dipertimbangkan sebagai sebahagian strategi holistik bagi mengurangkan kemalangan jalan raya.
Menurutnya, penguatkuasaan undang-undang trafik bersasar juga dapat membantu mengekang nahas jalan raya.
Tetapi, Goonting memberi amaran keberkesanan kempen keselamatan bergantung kepada kesinambungannya, pelaksanaan strategi secara konsisten dan ketersediaan sumber.
Katanya, perubahan pelbagai faktor, termasuk kakitangan pembuat keputusan utama dalam Kementerian Pengangkutan mungkin menghalang usaha itu.
Sementara itu, Pengerusi Institut Penyelidikan Keselamatan Jalan Raya (Miros), Wong Shaw Voon berkata, penting untuk semua pihak berkepentingan menerima pendekatan “sistem selamat” – merujuk strategi komprehensif diguna pakai Jabatan Pengangkutan AS bagi mengekang kematian dan kecederaan serius di jalan raya.
Ia mengiktiraf manusia melakukan kesilapan yang boleh menyebabkan kemalangan dan merancang sistem direka untuknya. Ia turut memerlukan semua pihak berkepentingan – kerajaan, industri, penyelidik dan orang ramai – memainkan peranan penting dalam mencegah kematian serta kecederaan serius.
“Cabaran keselamatan jalan raya berkait dengan sistem persekitaran.”
Wong berkata, pendekatan sistem selamat mengiktiraf kelemahan badan manusia terhadap daya pelanggaran, justeru antara matlamat pendekatan ini ialah mengekalkan tenaga impak pada mangsa kemalangan berpotensi di tahap yang boleh diterima.
Beliau memberi contoh model kereta baharu tertentu menggabungkan pendekatan sistem selamat dengan menggunakan teknologi seperti kawalan kelajuan dan sistem brek kecemasan, manakala teknologi lain yang boleh diakses pengguna jalan seperti Google Maps boleh membantu memantau had laju.
Menurutnya, orang ramai juga perlu mengamalkan kesedaran diri dengan memberi perhatian terhadap papan tanda jalan.