PLKN 3.0 mungkin libatkan lepasan sekolah

PLKN 3.0 mungkin libatkan lepasan sekolah

Kerajaan sedang mempertimbangkan kurikulum program itu untuk disesuaikan dengan usia peserta, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan semula PLKN di 13 kem Rejimen Askar Wataniah serta Pusat Latihan Polis (Pulapol) selepas ditangguhkan lebih 5 tahun. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Program Latihan Khidmat Negara (PLKN) 3.0 mungkin tidak melibatkan pelajar sekolah, sebaliknya golongan lepasan sekolah, kata Menteri Pertahanan Khaled Nordin.

Bagaimanapun, katanya, perkara tersebut masih dipertimbangkan untuk disesuaikan dengan usia peserta.

“Ia mungkin tidak akan melibatkan pelajar yang masih bersekolah, mungkin (dilaksanakan) selepas sekolah dan yang nak masuk universiti,” katanya pada sidang media di bangunan Parlimen.

“Itu semua kita sedang timbang. Kita ambil perhatian semua kebimbangan tersebut untuk kita sesuaikan ikut umur, kita masih belum muktamadkan.”

Khaled berkata, program PLKN 3.0 yang sedang dihalusi dijangka bermula tahun depan dan akan mengandungi dua komponen, iaitu kenegaraan dan ketenteraan.

“Korikulum untuk kenegaraan akan dibincang bersama KPT (Kementerian Pendidikan Tinggi) kerana ada elemen perpaduan dalam masyarakat.

“Aspek ketenteraan (pula) akan dibuat oleh Kementerian Pertahanan,” katanya,

Terdahulu, Khaled dilaporkan berkata, kerajaan sedang dalam proses memuktamadkan modul PLKN 3.0, dengan aspek yang dinilai termasuk kurikulum, pelaksanaan dan usaha antara agensi yang boleh membantu memantapkan program berkenaan.

Kerajaan sebelum ini memutuskan untuk melaksanakan semula PLKN di 13 kem Rejimen Askar Wataniah serta Pusat Latihan Polis (Pulapol), selepas ditangguhkan lebih lima tahun.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.