Pesara dah tua, usah rayu saman pemula pencen tentera, kerajaan diberitahu

Pesara dah tua, usah rayu saman pemula pencen tentera, kerajaan diberitahu

Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh) mohon menteri pertahanan menarik balik proses mahkamah dan tumpu kepada soal kebajikan veteran.

Khlir Mohd Nor minta kerajaan tarik rayuan terhadap saman pemula itu, namun Menteri Pertahanan Khaled Nordin berkata rayuan dibuat selaras proses undang-undang.
PETALING JAYA:
Kerajaan tidak perlu membuat rayuan susulan keputusan Mahkamah Tinggi membenarkan saman pemula difailkan 50 pesara tentera terhadap kerajaan dan Majlis Angkatan Tentera berhubung penyelarasan pencen mereka yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Khlir Mohd Nor (PN-Ketereh), berkata beliau bimbang sekiranya isu penyelarasan pencen berlarutan ia menyebabkan veteran tidak dapat merasai pembayaran itu memandangkan majoriti mereka telah berusia.

Katanya, ia ditambah apabila mahkamah telah memutuskan pesara terlibat mempunyai hak di bawah Perlembagaan Persekutuan untuk pencen mereka diselaraskan.

“Saya minta sangat tolong menteri, saya merayu walaupun saya nampak bodoh merayu tapi demi veteran saya ini tolong selesaikan masalah ini segera kesian 98% veteran jadi B40, macam mana nak hidup,” katanya ketika bangkit mencelah sesi penggulungan Menteri Pertahanan Khaled Nordin di Dewan Rakyat.

Terdahulu, ketika berucap Khaled berkata, Kementerian Pertahanan berdepan tuntutan saman berkaitan pelarasan pencen pesara tentera dan kerajaan ketika ini dalam proses rayuan di mahkamah.

Khalid bagaimanapun memberi jaminan akan berlaku adil kepada semua pihak, sambil memaklumkan kajian penambahbaikan sistem saraan penjawat awam sedang berjalan.

Katanya, rayuan dibuat itu selaras proses undang-undang dan Khaled meminta semua pihak menunggu keputusan muktamad dari mahkamah bagi membolehkan isu berbangkit dapat dinoktahkan.

“Kita bukan kalau bawa ke mahkamah kerajaan menang, tidak juga sebab kuasa mahkamah dan kerajaan asing itu sebab kita minta tunggu secara muktamad, jadi kita pilih mahkamah sebagai badan bebas membuat keputusan. Atas asas itu rayuan telah dibuat kita tunggu perbicaraan secara muktamad,” katanya.

Khlir berkata, walaupun semua pihak tertakluk kepada undang-undang, soal kebajikan veteran perlu diutamakan.

“Ini soal kebajikan, mereka (veteran) tua-tua bukan banyak…dana kerajaan nak habis kalau nak banding dengan isu LCS. Ada veteran yang cacat. Kalau menteri nak jumpa saya akan tunjuk seksanya mereka hidup. Tolong dengar rayuan saya, kalau saya mati saya tak pejam rapat mata (kalau isu ini tak selesai),” katanya.

Pada 5 Feb, Pesuruhjaya Kehakiman Suzana Muhamad Said membenarkan saman pemula itu yang memohon pengisytiharan kerajaan memungkiri peruntukan di bawah Perkara 137 atau Perkara 8 Perlembagaan dibaca bersama Seksyen 187 Akta Angkatan Tentera Malaysia, dalam kegagalan masing-masing melakukan penyelarasan pencen baharu untuk pesara tentera yang bersara sebelum 1 Jan 2013.

Plaintif mendakwa disebabkan ketidakpenyelarasan pencen itu, berlaku jurang ketara antara pesara tentera terbabit dengan mereka yang bersara selepas 1 Jan 2013.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.