
Hakim K Muniandy turut menetapkan sebutan lanjut kes itu pada 27 Mei nanti.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Ashrof Adrin Kamarul memohon diberikan tiga bulan untuk menyiapkan dan menyerahkan pernyataan saksi.
“Secara keseluruhan, terdapat 20 hingga 25 saksi.
“Saya sedang menyediakan pernyataan saksi dan telah memaklumkan peguam untuk lebih banyak masa bagi menyiapkannya.”
Ashrof berkata, bukan semua saksi berada di Lembah Klang dan penyiasat sedang mengesan lokasi beberapa saksi itu.
Tetapi, Muniandy mengarahkan pihak pendakwaan mempercepatkan persiapannya.
Sementara itu, Ashrof memberitahu mahkamah bahawa peguam negara belum membuat keputusan mengenai representasi difailkan bagi pihak Najib yang mahu pertuduhan itu digugurkan.
Peguam Shafee Abdullah sebelum ini berkata, representasi itu difailkan Ogos 2023.
Perbicaraan ditetapkan bermula 17 hingga 19 Sept dan 23 hingga 24 Sept ini.
Pada 3 Feb 2019, Najib didakwa atas tiga pertuduhan pengubahan wang, di mana beliau dikatakan menerima hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM27 juta melalui tiga akaun AmPrivate Banking.
Beliau didakwa melakukan kesalahan itu di AmIslamic Bank Berhad di bangunan AmBank Group di Jalan Raja Chulan pada 8 Julai 2014.
Jika sabit kesalahan, Najib boleh didenda maksimum RM5 juta atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya bagi pertuduhan di bawah Seksyen 4(1)(a) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram dan Pencegahan Pembiayaan Keganasan 2001.
Pada 23 Ogos 2023, Mahkamah Persekutuan mengekalkan sabitan Najib atas penyalahgunaan RM42 juta dana SRC. Mahkamah tertinggi itu turut mengekalkan hukuman penjara 12 tahun dan denda RM210 juta ke atasnya.
Najib memulakan hukuman penjara pada hari sama.