BAM tak tolak tawaran anjur Piala Thomas dan Uber 2026, kata timbalan presiden

BAM tak tolak tawaran anjur Piala Thomas dan Uber 2026, kata timbalan presiden

V Subramaniam berkata BAM kecewa ia terheret ke dalam hal yang tidak berkaitan, susulan laporan berkait Sukan Komanwel 2026.

Timbalan Presiden I, V Subramaniam (kiri), kecewa dengan komen Pesuruhjaya Sukan Suhardi Alias dalam laporan FMT hari ini.
PETALING JAYA:
Persatuan Badminton Malaysia (BAM) menyangkal dakwaan ia menolak tawaran menganjurkan Piala Thomas dan Piala Uber 2026.

Timbalan Presiden I, V Subramaniam, dalam kenyataan berkata dakwaan itu tidak berasas.

“Betul-betul karut. BAM tidak pernah tolak sebarang tawaran rasmi untuk anjur Piala Thomas dan Uber 2026,” katanya.

Subramaniam berkata beliau kecewa dengan komen seorang “pegawai sukan”, dan mempersoalkan motif membabitkan BAM.

Beliau mengulas komen oleh Pesuruhjaya Sukan Suhardi Alias berhubung cadangan supaya Malaysia menggantikan Victoria, Australia sebagai penganjur Sukan Komanwel 2026.

Suhardi mendakwa BAM menolak tawaran menganjurkan Piala Thomas dan Piala Uber yang dijadualkan berlangsung dalam dua tahun.

Subramaniam berkata: “Saya tak pasti kenapa perkara ini dibangkitkan; tidak ada isu sama sekali.”

Beliau berkata BAM kecewa ia “terheret ke dalam hal yang tidak berkaitan”.

Subramaniam berkata Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh sudah menjelaskan bahawa keputusan sama ada Malaysia akan menganjurkan Sukan Komanwel 2026 akan dibuat oleh Jemaah Menteri.

Terdahulu, Suhardi dilapor mengkritik cadangan itu, menyifatkan ia sebagai mengejutkan, berisiko dari segi kewangan, dan tidak berfikir panjang.

Beliau berkata Victoria menarik diri selepas kos penganjuran diunjur sekitar AUD7 bilion (RM21 bilion).

Suhardi juga berkata majlis perbandaran Birmingham berdepan masalah selepas ia menganjurkan Sukan Komanwel 2022.

Komen itu menyusuli kenyataan Presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM), Norza Zakaria, semalam, bahawa Persekutuan Sukan Komanwel (CGF) menawarkan kepada Malaysia peluang menganjurkan acara itu, dan menawarkan pelaburan sebanyak £100 juta (RM602 juta) untuk menyokong penyampaian di peringkat tempatan dan perancangan pewarisan bagi acara itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.