2 rakyat Malaysia antara 9 ditahan terbabit sindiket penipuan di Thailand

2 rakyat Malaysia antara 9 ditahan terbabit sindiket penipuan di Thailand

Seorang lelaki Malaysia berusia 42 tahun disyaki dalang sindiket itu diberkas di Sadao, Songkhla pada 6 Mac lepas.

Polis Thailand memohon kerjasama daripada polis Malaysia untuk memburu lebih ramai suspek yang terlibat dengan sindiket penipuan pelaburan yang dibongkarnya baru-baru ini. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Dua rakyat Malaysia antara sembilan suspek ditahan oleh polis Thailand setelah operasi sebuah sindiket penipuan di negara itu terbongkar.

Sindiket “pelaburan” yang beroperasi merentas Malaysia, Thailand dan Kemboja itu didakwa telah memperdaya lebih 50 mangsa mengakibatkan kerugian kira-kira 800 juta baht (RM105.26 juta), lapor Bernama.

Sindiket itu dianggarkan memiliki lebih lima bilion baht (RM657.90 juta) beredar dalam rangkaiannya, menurut polis.

Ketua Bahagian Pencegahan Jenayah Ekonomi Thailand Puttidej Bunkrapue berkata, seorang lelaki rakyat Malaysia berusia 42 tahun disyaki dalang sindiket ini diberkas di Sadao, Songkhla pada 6 Mac lepas.

Keesokan harinya, seorang lagi lelaki berusia 26 tahun, yang memiliki rekod jenayah di Malaysia, ditahan di Bangkok bersama teman wanitanya, seorang warga Thailand berusia 30 tahun, tambahnya.

Siasatan awal mendapati sindiket itu memperdaya lebih 50 mangsa, kebanyakannya wanita, dengan ada antaranya memindahkan antara 10 hingga 15 juta bhat pada satu-satu masa.

Dua rakyat Malaysia itu akan menghadapi tuduhan termasuk penipuan dan jenayah siber dan boleh dijatuhkan hukuman penjara maksimum lima tahun, jika sabit kesalahan.

Mereka juga mungkin menghadapi tuduhan tambahan, iaitu jenayah terancang transnasional, yang membawa hukuman penjara maksimum 15 tahun.

Puttidej berkata, polis menyita 84 akaun bank mengandungi lebih 20 juta bhat, selain 20 akaun kripto.

“Polis juga merampas 33 komputer, 65 telefon bimbit dan satu koleksi barangan mewah termasuk kereta, beg dan jam tangan berjenama,” katanya.

Beliau berkata, mahkamah juga mengeluarkan waran tangkap terhadap lebih 50 suspek, termasuk lapan rakyat Malaysia, yang disyaki terlibat dengan sindiket ini.

“Kami sedang memohon kerjasama daripada polis Malaysia untuk memburu lebih ramai suspek,” kata Puttidej.

Modus operandi sindiket itu ialah memperdaya mangsa supaya melabur menerusi satu aplikasi palsu dipanggil “Nichare”, dengan menjanjikan keuntungan mudah dan membenarkan pengeluaran awal wang untuk membina keyakinan mangsa.

Bagaimanapun, mangsa akan berdepan halangan apabila cuba mengeluarkan jumlah wang yang banyak kemudian. Mereka akan ditekan membayar fi tambahan, termasuk fi jaminan dan cukai, bagi mendapatkan kembali pelaburan asal mereka.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.