Untung operasi Khazanah hampir RM6 bilion tahun lepas

Untung operasi Khazanah hampir RM6 bilion tahun lepas

Dana kekayaan negara itu itu turut mengagihkan dividen sebanyak RM1 bilion kepada kerajaan bagi tahun kewangan 2023.

Prestasi lebih kukuh Khazanah Nasional tahun lepas dipacu oleh dividen dan pengagihan lebih tinggi daripada syarikat penerima pelaburan, keuntungan nilai saksama dan pengekalan modal, kata pengarah urusannya, Amirul Feisal Wan Zahir. (Gambar Reuters)
KUALA LUMPUR:
Khazanah Nasional Bhd mencatatkan keuntungan operasi lebih tinggi, iaitu RM5.9 bilion, bagi tahun kewangan 2023 berbanding RM1.6 bilion pada tahun sebelumnya dalam keadaan pasaran global yang tidak menentu.

Pengarah Urusan Amirul Feisal Wan Zahir berkata, prestasi lebih kukuh itu dipacu oleh dividen dan pengagihan yang lebih tinggi daripada syarikat penerima pelaburan, keuntungan nilai saksama dan pengekalan modal.

“2023 merupakan tempoh mencabar bagi Khazanah dan pasaran global, dipengaruhi oleh jangkaan kadar tertinggi Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (Fed), keredaan daripada inflasi yang tinggi, keadaan monetari yang ketat, tumpuan berterusan dalam kecerdasan buatan (AI), pertumbuhan lemah di China dan konflik geopolitik berlanjutan,” katanya pada taklimat media mengenai Tinjauan Tahunan Khazanah 2024.

Namun begitu, katanya, Khazanah kekal berdaya tahan dan melaksanakan peruntukan modal yang berdisiplin untuk memberikan pulangan mampan di samping melabur demi masa depan serta menerapkan kemampanan merentas operasi.

Dana kekayaan negara itu mengumumkan dividen lebih baik, sebanyak RM1 bilion untuk 2023 kepada kerajaan, berbanding RM500 juta pada tahun kewangan 2022, menjadikan dividen kumulatif yang dibayar sejak 2004 sebanyak RM18.1 bilion.

Amirul Feisal berkata, hutang Khazanah meningkat sedikit kepada RM50.2 bilion daripada RM49.1 bilion pada tahun sebelumnya dengan nisbah nilai aset boleh direalisasi (RAV) terhadap hutang kekal sihat pada 2.7x.

“NAV meningkat daripada RM33 bilion pada 2004 kepada RM85 bilion pada 2023, menjadikan kadar pertumbuhan tahunan terkumpul sebanyak 5.1%, memenuhi mandat Khazanah untuk memberikan pulangan mampan kepada negara dan meningkatkan kekayaan jangka panjang Malaysia,” katanya.

Katanya, bagi tahun ini, persekitaran makroekonomi dan pasaran global dijangka kekal mencabar dan tidak menentu, dengan konflik geopolitik berterusan di Asia Barat, kesinambungan Perang Rusia-Ukraine, dan persaingan global antara China dengan Amerika Syarikat.

Selain itu, kitaran pilihan raya global yang signifikan melibatkan 76 negara yang mewakili lebih 60% daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) dunia akan menambah ketidaktentuan, katanya.

“Dalam persekitaran ini, Khazanah kekal berwaspada dalam aktiviti pelaburannya untuk mengekalkan daya tahan portfolio melalui kepelbagaian strategik,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.