Tangguh aktiviti luar kelas jika El Nino bertambah buruk

Tangguh aktiviti luar kelas jika El Nino bertambah buruk

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, kerajaan tidak mahu sebarang perkara di luar jangkauan berlaku, terutama membabitkan kesihatan pelajar.

Wong Kah Woh berkata, KPM akan terus berkolaborasi dengan Kementerian Kesihatan untuk memantau keadaan cuaca dan juga status kesihatan pelajar. (Gambar Bernama)
IPOH:
Kementerian Pendidikan (KPM) bersedia menangguhkan sebarang aktiviti luar bilik darjah, jika fenomena El Nino yang melanda negara ketika ini bertambah buruk.

Timbalan Menteri Pendidikan, Wong Kah Woh berkata, pihaknya tidak mahu sebarang perkara di luar jangkauan berlaku, terutama membabitkan kesihatan pelajar.

“Buat masa ini, KPM akan terus berkolaborasi dengan Kementerian Kesihatan (KKM) untuk memantau keadaan cuaca dan juga status kesihatan pelajar ini.

“Kita juga akan keluarkan garis panduan dari semasa ke semasa kepada pihak sekolah bergantung kepada keperluan keadaan. Apa-apa pun keutamaan adalah kebajikan dan kesihatan anak-anak,” katanya selepas melawat Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Tanjung Rambutan di sini.

Pada 4 Feb lepas, Menteri Kesihatan, Fadhlina Sidek meminta guru dan ibu bapa memantau keadaan anak ketika berdepan cuaca panas akibat El Nino.

Katanya, KPM mempunyai garis panduan berkaitan fenomena cuaca yang digunakan bagi memberikan peringatan dan nasihat mengikut keadaan semasa di peringkat sekolah.

Sementara itu, Wong berkata, meskipun terdapat aduan berhubung Bantuan Awal Persekolahan (BAP) yang dilaporkan kepada KPM, namun semuanya dapat diselesaikan.

“Antara aduan yang diterima terarah kepada isu teknikal sebagai contoh isu pertukaran sekolah. Bagaimanapun, perkara itu dapat diselesaikan sebaiknya.”

Beliau meminta mana-mana individu atau penjaga yang masih tidak menerima BAP membuat aduan kepada KPM atau pihak sekolah.

“Berkaitan isu BAP ini, saya nasihatkan ibu bapa bangkitkan kepada sekolah serta pihak KPM. KPM sendiri sedia membantu dan akan pastikan bantuan berkenaan sampai kepada mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.