RMK13 letak sasaran kurang pekerja asing ‘lebih drastik’ dan ‘ketara’

RMK13 letak sasaran kurang pekerja asing ‘lebih drastik’ dan ‘ketara’

Menteri Ekonomi Rafizi Ramli berkata MTEN akan bincang mekanisme khusus untuk mengurangkan pekerja asing secara berkala.

Kerajaan perlukan kerjasama industri bagi mengurangkan jumlah pekerja asing dan pendatang asing tidak berkemahiran.
PETALING JAYA:
Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) tahun depan akan meletakkan sasaran ketara dalam mengurangkan pekerja asing, menurut Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli.

Beliau memaklumkan perkara ini agar industri dapat bersedia lebih awal, menegaskan bahawa mengurangkan jumlah pekerja asing dan pendatang asing tidak berkemahiran memerlukan kerjasama industri.

“Setiap kali nak kurangkan jumlah pekerja asing akan dapat bantahan. Majlis Tindakan Ekonomi Negara akan bincang mekanisme khusus untuk kurangkan pekerja asing secara berkala. Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) tahun depan akan letak sasaran kurangkan pekerja asing lebih drastik dan ketara.

“Saya sebut supaya dapat sediakan industri lebih awal, kita perlu komited kurangkan jumlah pekerja asing,” katanya ketika sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat.

Beliau menjawab soalan tambahan Mohd Shahar Abdullah (BN-Paya Besar) berhubung usaha kerajaan membanteras aktiviti perniagaan pendatang asing tanpa izin yang menyebabkan rakyat terpaksa bersaing dengan mereka.

Rafizi berkata kerajaan juga bercadang mewujudkan Akta Anti-Ali Baba bagi menyekat warga tempatan menyewakan lesen kepada warga asing.

“Sekarang tiada undang-undang khusus kepada penduduk tempatan yang menyebabkan fenomena ini bertambah.

“Selain kecilkan jumlah pekerja asing, kita perlu meletakkan undang-undang supaya jadi kesalahan jika membolehkan pekerja asing usahakan perniagaan atas nama orang tempatan.”

Katanya, kumpulan pekerja asing itu mengenakan kadar upah lebih rendah berbanding penduduk tempatan sehingga menjejaskan pasaran.

“Kita perlu komited kurangkan jumlah pekerja dan pendatang asing tidak berkemahiran dalam negara. Ia perlukan bukan sahaja dasar, tapi kerjasama industri.

“Kalau kita terus ada tiga hingga 3.5 juta pekerja asing ada dokumen atau tak, ia mewujudkan kumpulan struktur kos lebih rendah dan peniaga tempatan tak boleh bersaing, mereka terus letakkan harga rendah dan ada orang ramai dapatkan khidmat dan produk mereka.”

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.