KPM tiada rancangan buat penilaian menyeluruh sekolah vernakular

KPM tiada rancangan buat penilaian menyeluruh sekolah vernakular

Menteri pendidikan berkata, sebarang tindakan atau keputusan mengenai ekosistem pendidikan sedia ada mesti berdasarkan ketetapan dalam Akta Pendidikan 1996.

Fadhlina Sidek berkata, sekolah vernakular diiktiraf Akta Pendidikan dan kerajaan akan teruskan dengan pendirian itu. (Gambar Bernama)
KUALA LANGAT:
Kementerian Pendidikan (KPM) tiada perancangan membuat penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular setakat ini, kata Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek.

Beliau berkata, sebarang tindakan atau keputusan mengenai ekosistem pendidikan sedia ada mesti berdasarkan ketetapan dalam Akta Pendidikan 1996.

“Kita mendengar pandangan berkenaan (sekolah vernakular) tetapi untuk hari ini, pendirian KPM adalah untuk berdiri tegak dan memperkukuhkan Akta Pendidikan.

“Sebagaimana saya tegaskan sebelum ini, sekolah vernakular ini diiktiraf Akta Pendidikan dan kita akan teruskan dengan pendirian tersebut berdasarkan Akta Pendidikan,” katanya kepada pemberita di sini.

Beliau mengulas kenyataan Ketua Pemuda Umno, Dr Akmal Salleh baru-baru ini yang meminta kerajaan melakukan penilaian menyeluruh terhadap ekosistem pendidikan vernakular merangkumi lebih 1,800 sekolah jenis kebangsaan (SJK).

Terdahulu, Fadhlina meluangkan masa meninjau hari pertama sesi baharu persekolahan 2024/25 di Sekolah Kebangsaan Saujana Putra di sini.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.