Kerajaan perlu teliti kesan boikot pada ekonomi, kata Ahli Parlimen

Kerajaan perlu teliti kesan boikot pada ekonomi, kata Ahli Parlimen

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin berkata kebanyakan syarikat yang diboikot ini majoriti sahamnya dipegang oleh rakyat Malaysia sendiri.

Ahli Parlimen Puncak Borneo Willie Mongin berkata gerakan boikot syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel tidak memberi kebaikan kepada ekonomi. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang Ahli Parlimen kerajaan meminta kerajaan meneliti kesan terhadap ekonomi susulan gerakan boikot syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel di negara ini.

Ahli Parlimen (GPS-Puncak Borneo) Willie Mongin berkata, kebanyakan syarikat yang diboikot ini majoriti sahamnya dipegang oleh rakyat Malaysia sendiri dan majoriti pekerjanya adalah anak Melayu.

“Contoh Coca Cola, 20% sahamnya dipegang LTAT (Lembaga Tabung Angkatan Tentera), 90% pekerjanya pula anak Melayu, (dengan boikot) 90% anak Melayu boleh hilang kerja.

“Saham syarikat dimiliki LTAT juga akan merudum, (ini) bukan sahaja melibatkan Coca Cola tetapi syarikat McDonald dan Starbucks. Pegangan saham ini oleh rakyat Malaysia sendiri. Kita boleh menang dengan boikot tapi ibarat menang sorak kampung tergadai,” katanya.

Willie berkata demikian ketika mencelah sesi penggulungan Timbalan Menteri Luar Mohamad Alamin di Dewan Rakyat berkaitan isu membabitkan Palestin.

Beliau turut mencadangkan Wisma Putra, Kementerian Ekonomi dan kementerian berkaitan membuat hala tuju mengenai gerakan boikot tersebut.

Kenyataan Willie itu dibantah Ahli Parlimen (PN-Pendang) Awang Hashim yang berkata kuasa ekonomi menyebabkan Israel menjadi zalim dan nyawa rakyat Palestin tidak boleh diukur dengan ekonomi.

“Ini bukan masalah agama. Kalau LTAT perlu tarik saham, tarik. Ini kita tak boleh kompromi dengan Israel,” katanya.

Mohamad kemudiannya berkata kerajaan tidak mempunyai kuasa membabitkan tindakan boikot kerana ia adalah hak individu.

“Bagaimanapun, kita akan mungkin akan bincang rentas kementerian kesan boikot kepada ekonomi negara,” katanya.

Gerakan boikot terhadap syarikat yang didakwa mempunyai kaitan dengan Israel itu tercetus susulan serangan tentera rejim Zionis terhadap Gaza di Palestin yang bermula pada Oktober tahun lalu.

Baru-baru ini, Berjaya Food Bhd dilaporkan berdepan cabaran susulan kempen boikot terhadap Starbucks di Malaysia dan diburukkan dengan kejatuhan nilai ringgit berbanding dolar AS.

Ini menyebabkan kejatuhan pendapatan dan rekod kerugian tertinggi pada suku kedua tahun fiskal 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.