
Justeru, Syed Saddiq mahu bertemu kepimpinan Muda bagi memberi penjelasan berhubung jelajah seluruh negara yang mungkin berlaku selepas Aidilfitri, dan meminta kebenaran parti untuk menyertainya.
Syed Saddiq berkata pertemuan bagi menjelaskan sebarang kemungkinan “salah tafsir”.
“Ini bukan jelajah PN jelajah Muda. Ini bukan jelajah kepartian semata-mata tetapi kerjasama demi isu rakyat dan masa depan negara,” katanya pada sidang media di Parlimen.
Menyusuli pertemuan itu Syed Saddiq berharap tenaga merentas kepartian dapat digembleng untuk “suarakan isu rakyat”.
“Harap dari sana kita dapat menggembleng tenaga rentasi barisan parti – tanpa kira Muda atau PN – untuk suarakan isu rakyat yang patut dijadi panduan utama kita,” katanya.
Muhyiddin pada Sabtu mengumumkan PN merancang mengadakan jelajah ke seluruh negara bersama Syed Saddiq bagi memberi penerangan berhubung isu semasa. Syed Saddiq merupakan bekas presiden Muda.
Pemangku presiden Muda, Amira Aisya Abd Aziz, memaklumkan hal jelajah bersama PN itu tidak pernah dibincangkan dalam jawatankuasa eksekutif pusat Muda.
Amira berkata Muda hanya mempunyai komitmen bersama dengan Parti Sosialis Malaysia bagi mengangkat isu rakyat merentas agama, bangsa, dan warna kulit.
“Muda kekal sebagai parti politik yang tunggal tanpa menyokong mana-mana blok sama ada dengan Umno-Pakatan Harapan mahupun PN,” katanya dalam kenyataan kepada FMT.