‘Jangan cari dalil’, Muhyiddin tepis dakwaan kartel kuasai Bersatu Selangor

‘Jangan cari dalil’, Muhyiddin tepis dakwaan kartel kuasai Bersatu Selangor

Terdahulu Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari, mendakwa Bersatu Selangor dikuasai 'kartel'.

Presiden Bersatu Muhyiddin Yassin bertemu pemberita di JPPM hari ini bersama pimpinan lain selepas menyerahkan pindaan perlembagaan.
PUTRAJAYA:
Muhyiddin Yassin menepis dakwaan oleh wakil rakyat partinya sendiri yang mendakwa Bersatu Selangor dikuasai ‘kartel’.

Presiden Bersatu itu berkata dakwaan oleh Adun Selat Klang, Abdul Rashid Asari, itu sekadar alasan bagi tindakannya beralih sokongan.

“Mana ada kartel. Jangan cari sebab ataupun dalil bila dah lakukan kesilapan besar maka menuduh parti pula buat begitu. Satu perbuatan tidak bertanggungjawablah,” katanya kepada pemberita, mengulas dakwaan oleh bekas ketua Bersatu Selangor hari ini.

Terdahulu, Rashid dilapor mendakwa Bersatu dikuasai oleh suatu kartel, yang dipimpin individu “baru sehari dua” menyertai parti, sebagai punca beliau beralih sokongan.

Katanya, lebih separuh nama ketua bahagian yang beliau selaku ketua negeri cadangkan untuk bertanding PRN tahun lalu “dihumban keluar” kerana ada “kartel mahu membawa orang masing-masing” sebagai calon Bersatu.

Rashid pada 6 Mac lalu mengisytiharkan beliau menyokong pentadbiran Menteri Besar Selangor, Amirudin Shari.

Azmin dilantik mengetuai Bersatu Selangor pada Januari 2024, menggantikan Rashid dalam usaha ‘membugarkan’ parti itu. Rashid menolak dakwaan merajuk kerana dilucut jawatan.

“Tidak ada kartel. Parti ini bergerak atas dasar perlembagaan. Ada peraturan. Rashid pun jadi timbalan pengerusi badan pimpinan negeri. Kalau ada berkartel, berkartel dengan dia lah,” kata Muhyiddin.

Terdahulu, Muhyiddin diiring Setiausaha Agung Hamzah Zainudin, Naib Presiden Ronald Kiandee, dan Ketua Pemuda Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal ke Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) untuk menyerahkan pindaan perlembagaan parti yang dilakukan pada 2 Mac lepas.

Pindaan itu sebagai cara membendung wakil rakyat Bersatu memberi sokongan kepada lawan.

Pindaan itu dibuat selepas enam Ahli Parlimen Bersatu mengisytiharkan sokongan kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim iaitu Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal (Bukit Gantang), Mohd Azizi Abu Naim (Gua Musang), Zulkafperi Hanapi (Tanjong Karang), Zahari Kechik (Jeli), Iskandar Dzulkarnain Abdul Khalid (Kuala Kangsar), dan Suhaili Abdul Rahman (Labuan).

Muhyiddin berkata pindaan diserahkan kepada Ketua Pengarah Mohd Zulfikar Ahmad.

“Tadi kita telah jelaskan satu persatu kepada KP JPPM dan alhamdulillah semuanya teratur. Saya diberitahu telah mengikut peraturan-peraturan ditetapkan dan saya memohon supaya KP beri pertimbangan sebaiknya dalam tempoh segera,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.