
Awang Azman Pawi dari Universiti Malaya berkata, Amanah sepatutnya memberi tumpuan menembusi kubu seteru utama mereka, PAS di pantai timur dan utara Semenanjung.
“Ini bukan soal cuba-cuba nak bertanding atau bertapak di Sabah, yang penting sekarang ini untuk dapatkan kerusi sebanyak mungkin di Sabah.
“Potensi Amanah mendapatkan sokongan pengundi menyokong mereka di Sabah agak kurang. Dari segi penetrasi Amanah di Sabah, jika dibandingkan dengan DAP dan PKR, mereka lebih mendapat tempat berbanding Amanah,” katanya kepada FMT.
Beliau mengulas kenyataan Presiden Amanah, Mohamad Sabu yang menyuarakan hasrat partinya bertanding di PRN Sabah akan datang.
Mohamad dilaporkan berkata, perkara itu tertakluk kepada perbincangan antara komponen Pakatan Harapan.
Sabah mempunyai 73 kerusi DUN dengan 48 daripadanya terdiri daripada pengundi majoriti beragama Islam.
Mazlan Ali dari Universiti Teknologi Malaysia pula berpendapat, Amanah mempunyai peluang di PRN Sabah dengan syarat mereka didokong PH dan parti lain yang membentuk kerajaan perpaduan.
Walaupun tewas di DUN Tanjung Keramat pada PRN Sabah sebelum ini, katanya, calon Amanah yang menggunakan logo Warisan ketika itu menunjukkan ia mampu memberi saingan kepada lawan.
“Ini menunjukkan Amanah mampu dan boleh mendapat kepercayaan PH, sedangkan PAS, parti yang lebih besar dan lama langsung tidak mendapat peluang bertanding (di Sabah).
“Amanah mampu menang kali ini kerana ia sebahagian daripada kerajaan perpaduan yang juga disertai Umno dan Gabungan Rakyat Sabah.
“Dengan bantuan dan laluan yang diberikan, parti itu boleh menang di kawasan ditandingi,” katanya yang mengakui pengaruh PKR dan DAP lebih besar di Sabah berbanding Amanah.