2 lori treler Thai cuba seludup 14,000 diesel subsidi tumpas

2 lori treler Thai cuba seludup 14,000 diesel subsidi tumpas

Kastam Kedah berkata lori diikrar kosong dengan beberapa bahagian kenderaan diubah suai untuk diisi bahan bakar itu.

Pengarah Kastam Kedah Nor Izah Abd Latiff, berkata lori terbabit didapati membuat dua atau tiga kali perjalanan sehari berulang alik dari negara jiran ke negara ini. (Gambar JKDM)
PETALING JAYA:
Kastam Kedah mematahkan cubaan seludup kira-kira 14,000 diesel subsidi dari dua lori treler Thailand di Kompleks Imigresen, Kastam, Kuarantin dan Keselamatan (ICQS) Bukit Kayu Hitam.

Pengarahnya, Nor Izah Abd Latiff berkata dalam pemeriksaan pada 4 dan 5 Mac, lori treler itu diikrar lori kosong, namun didapati beberapa bahagian lori telah diubah suai untuk diisi minyak diesel.

“Pemeriksaan terhadap lori treler dipandu lelaki warga Thailand itu mendapati terdapat beberapa bahagian lori treler dan semi treler telah diubah suai untuk mengangkut minyak diesel ke negara jiran. Kedua-dua pemandu lori ditahan dan kenderaan itu disita untuk tindakan lanjut.

“Siasatan awal mendapati, lori treler berkenaan telah mengikrar sebagai lori kosong namun pemeriksaan teliti oleh pegawai kastam mendapati terdapat beberapa bahagian lori telah diubah suai bagi membolehkan minyak diesel diisi dengan lebih banyak,” katanya menurut Bernama.

Nor Izah berkata, hasil pemeriksaan terhadap kedua-dua lori itu telah menjumpai 14,000 liter minyak diesel dianggarkan RM30,100.

“Modus operandi mereka adalah dengan mengubah suai tangki untuk mengaburi pihak kastam dan lori-lori ini juga membuat dua atau tiga kali perjalanan sehari secara berulang alik dari negara jiran ke Malaysia.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 135(1)(e) Akta Kastam 1967. Kastam meminta kerjasama orang awam untuk menyalurkan maklumat berkaitan aktiviti penyeludupan dengan menghubungi talian bebas tol Kastam di 1-800-88-8855 atau ke Pejabat Kastam berdekatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.