PAC kata mungkin, jika panggil saya perjelaslah, kata Khaled

PAC kata mungkin, jika panggil saya perjelaslah, kata Khaled

Menteri pertahanan berkata Laporan Ketua Audit Negara membabitkan LTAT sebelum ini tidak tepat kerana hanya mewakili satu daripada tiga komponen rizab.

Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata sehingga kini belum dimaklumkan untuk memberi keterangan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Menteri Pertahanan Mohamed Khaled Nordin berkata beliau akan memberi penjelasan kepada Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) jika dipanggil susulan laporan rizab Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) berbaki negatif RM0.338 bilion pada 2022.

Katanya, sehingga kini beliau belum dimaklumkan untuk memberi keterangan kepada jawatankuasa diketuai Ahli Parlimen Masjid Tanah Mas Ermieyati Samsudin itu.

“Saya akan jelaskan nanti kepada PAC. PAC tak kata akan panggil, mereka kata mungkin panggil.

“Jadi bila saya sudah jelaskan ini (rizab positif) PAC tak panggillah agaknya,” katanya pada sidang media selepas Majlis Perbarisan Tahunan Putera Maktab Tentera Diraja (MTD) di Kem Perdana Sungai Besi.

Khaled menjelaskan, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) membabitkan LTAT sebelum ini tidak tepat kerana hanya mewakili satu daripada tiga komponen iaitu Rizab Pendapatan Komprehensif Lain (OCI).

“Kita ingin nyatakan pada tahun 2022 rizab LTAT memang berada pada kedudukan positif, ada tiga tabung rizab tetapi pihak ketua Audit Negara merujuk satu tabung.

“Tabung secara gabungan menunjukkan positif dan untuk tahun ini pun positif, bermakna pada tahun lepas (2022) positif…2023 pun positif lebih kurang dalam RM900 juta,” katanya.

Pada 7 Mac lalu, Mas Ermieyati berkata selain Khaled PAC juga akan memanggil tiga pengurusan tertinggi LTAT yang meletak jawatan iaitu bekas pengerusi Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bekas ketua pegawai eksekutif Ahmad Nazim Abd Rahman dan bekas pengarah kanan strategi Dayana Rogayah Omar.

Sementara itu, dalam ucapannya dalam majlis sama, Khaled berkata Kementerian Pertahanan menerusi LTAT memperkenalkan program penabungan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) untuk murid Tahun 1 anak anggota lain-lain pangkat bermula tahun ini.

Katanya, program dikenali Simpanan Pendidikan Madani (SPM) melibatkan sumbangan tabungan ke akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) kepada 9,355 murid Tahun 1 bagi sesi persekolahan 2024 melibatkan jumlah keseluruhan RM467,750.

Selain itu, beliau berkata sebanyak RM15 juta diperuntukkan kerajaan untuk penyelenggaraan dan naik taraf sekolah angkatan tentera membabitkan 29 buah.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.