
Beliau berkata, Muhyiddin dan rakannya dalam PN harus mencontohi Anwar Ibrahim dengan mengamalkan pendirian berbilang kaum.
“Boleh tak jangan kata saya dahulukan Melayu? Beritahu rakyat kamu adalah ‘bapa’ kepada semua kaum,” katanya dalam catatan di X.
Kenyataan Zaid menyusul selepas Muhyiddin berkata PN mesti berusaha dan mencari jalan untuk menarik sokongan bukan Melayu menjelang PRU16, semalam.
Presiden Bersatu berkata, PN perlu menggunakan pendekatan baharu dalam melibatkan diri dengan bukan Melayu dan jika berjaya, sokongan mereka terhadap gabungan itu berpotensi meningkat 5 hingga 10%.
Zaid, bekas menteri undang-undang berkata Muhyiddin harus menasihatkan Gerakan untuk “menjadi seperti DAP” dengan mengguna pakai prinsip meritokrasi, kedaulatan undang-undang, dan reformasi untuk mendapatkan kuasa.
Sementara itu, pemimpin PAS perlu diberitahu untuk mengiktiraf bahawa bukan Islam adalah sekutu mereka.
“Oleh itu, PAS perlu peka terhadap hal-hal duniawi, kerana orang bukan Melayu mementingkan ekonomi, pendidikan dan perniagaan,” katanya.
“Jika PAS meneruskan fokus tunggalnya kepada perkara-perkara agama, ia tidak akan memupuk pertumbuhan ekonomi orang Melayu atau membantu Bersatu memenangi pilihan raya umum.”
Zaid juga berkata, pemimpin Bersatu harus “merapatkan barisan” dan berdamai dengan Umno, kerana kedua-dua parti berkongsi ideologi sama.
“Lagipun, tiada sebab untuk Bersatu terus melawan Umno. Asal anda sama dan perbezaan anda adalah taktikal semata-mata,” katanya sambil menambah Muhyiddin harus mengetepikan impiannya untuk menjadi perdana menteri sekali lagi.
Bersatu, parti serpihan Umno, ditubuhkan oleh Muhyiddin dan beberapa bekas pemimpin Umno, termasuk Dr Mahathir Mohamad dan Mukhriz Mahathir.
Muhyiddin dan Mukhriz dipecat daripada Umno, manakala Mahathir memilih untuk keluar parti.