
Pengarahnya Mohd Zamri Abdul Aziz berkata tindakan itu akan diambil jika pelajar gagal hadir selepas seminggu tempoh persekolahan penggal 2024/2025 berdasarkan maklumat daripada pejabat pendidikan daerah dan sekolah.
“Kita telah arahkan kepada pihak sekolah supaya mereka memantau secara harian ketidakhadiran pelajar walaupun kita telah ada sistem untuk dikemas kini, cuma kebiasaannya pada minggu pertama persekolahan kita melihat dari segi bilangan yang telah ada pada tahun sebelumnya.
“Mungkin kalau mereka tidak hadir sehari itu bukan keciciran mungkin mereka ada masalah kesihatan atau sebagainya,” katanya kepada pemberita selepas mengadakan tinjauan di Sekolah Kebangsaan (SK) Ismail Petra 1.
Beliau berkata, jika pelajar tidak hadir ke sekolah selama seminggu, pihak sekolah akan bergerak ke rumah pelajar terbabit untuk tindakan sewajarnya.
Mengulas lanjut, beliau berkata tahun lalu pihaknya mengesan seramai 22 pelajar keciciran dalam kalangan Orang Asli iaitu 14 dari SK Balar manakala lima di Sekolah Menengah Kebangsaan Sri Wangi.
Beliau berkata, semua mereka akan diberi kefahaman mengenai keperluan ke sekolah menerusi perbincangan bersama wakil JPN, pemimpin setempat, tok batin dan pihak Jabatan Kemajuan Orang Asli.
“Kebiasaannya punca kepada berlaku keciciran dalam kalangan pelajar Orang Asli disebabkan masalah adat mereka, faktor keselamatan dan juga cuaca.
“Bagaimanapun, kebanyakan mereka tinggal di asrama sekali gus dapat mengurangkan masalah keciciran. Kami berharap dengan adanya usaha ini masalah keciciran dalam kalangan pelajar di negeri ini termasuk Orang Asli dapat dikurangkan,” katanya.
Zamri berkata, pihaknya menyasarkan sifar isu keciciran selaras hasrat Kementerian Pendidikan memastikan isu tersebut tidak berterusan dan menjadi kebimbangan di negara ini.