FAM tetap pendirian 100% puas hati padang SNBJ

FAM tetap pendirian 100% puas hati padang SNBJ

Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon sebelum ini risau dengan keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil selepas melakukan pemeriksaan Khamis lalu.

Keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil menjadi perdebatan hangat sebelum ini apabila ia menjadi venue beberapa konsert. (Gambar Bernama)
PUTRAJAYA:
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) tetap dengan pendirian berpuas hati keadaan padang Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) yang akan digunakan menjelang perlawanan keempat Kumpulan D pusingan kedua Kelayakan Piala Dunia 2026/2027 Piala Asia menentang Oman 26 Mac ini.

Setiausaha Agung FAM, Noor Azman Rahman, berkata beliau memahami kegusaran diluahkan Ketua Jurulatih Harimau Malaya Kim Pan Gon baru-baru ini, namun perbincangan bersama pihak Perbadanan Stadium Malaysia (PSM) menunjukkan terdapat waktu mencukupi bagi padang itu kembali seperti sedia kala.

“Dia (Pan Gon) risau dalam keadaan sekarang masa lawatan kami di SNJB namun komitmen diberikan oleh kontraktor dalam masa dua minggu insya-Allah, benda (padang) itu akan pulih lebih cantik balik dan boleh pakai.

“Kita lakukan lawatan sekali (7 Mac) dan berpuas hati 100%. Masa lawatan itu diadakan Presiden FAM Hamidin Mohd Amin pun ada sekali (jadi) tiada masalah sebab masih ada waktu,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Sambutan Hari Bola Sepak Wanita Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) ke-10 di Taman Ekuestrian Putrajaya.

Pan Gon sebelum ini menyatakan kerisauan dengan keadaan padang SNBJ selepas melakukan pemeriksaan bersama Hamidin, Pengerusi PSM Hans Isaac dan kakitangan kejurulatihannya Khamis lalu.

Keadaan padang SNJB menjadi perdebatan hangat sebelum ini apabila stadium itu menjadi venue beberapa konsert.

Harimau Malaya memulakan latihan pusat di Wisma FAM Jumaat lalu sebagai persediaan menghadapi perlawanan ketiga Kumpulan D menentang pasukan ke-80 dunia Oman, di Stadium Pusat Sukan Sultan Qaboos, Muscat pada 21 Mac, sebelum pulang untuk perlawanan timbal balik di Bukit Jalil, lima hari kemudian.

Selepas dua perlawanan itu, Malaysia yang berkedudukan ke-132 dunia akan bertemu Kyrgyzstan (6 Jun) di tempat lawan dan kembali ke Malaysia untuk bertemu Taiwan di Bukit Jalil pada 11 Jun.

Malaysia dilihat berpeluang cerah layak ke pusingan ketiga kelayakan Piala Dunia/Piala Asia buat julung kali apabila mendahului carta Kumpulan D dengan kelebihan tiga mata daripada Oman.

Anak buah Pan Gon mencatatkan dua kemenangan menentang Kyrgyzstan (4-3) dan Taiwan (1-0) tahun lalu untuk mengungguli carta kumpulan, manakala Oman di tempat kedua berkongsi mata dengan Kyrgyzstan, sementara Taiwan berada di tempat terakhir tanpa sebarang mata.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.