Asnaf Selangor dapat bantuan hingga RM1,000 sempena Ramadan, Syawal

Asnaf Selangor dapat bantuan hingga RM1,000 sempena Ramadan, Syawal

Lembaga Zakat Selangor berkata kadar minimum bantuan RM300.

Ketua Pegawai Operasi LZS Ahmad Fadhil Hassan, berkata keseluruhannya seramai 68,311 asnaf fakir, miskin, dan mualaf layak menerima bantuan. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Daerah Petaling menjadi kawasan paling tinggi diperuntukkan bantuan zakat kepada fakir, miskin, dan mualaf, kata Lembaga Zakat Selangor (LZS).

Ketua Pegawai Operasi LSZ Ahmad Fadhil Hassan, berkata ia diikuti Klang dan Hulu Langat.

Katanya, tahun ini pihaknya peruntuk RM31.9 juta bantuan Ramadan dan Syawal untuk diagihkan kepada 68,311 asnaf fakir, miskin dan mualaf seluruh Selangor.

“Setiap penerima mendapat bantuan antara RM300 hingga RM1,000 bergantung kepada jumlah tanggungan sesebuah keluarga.

“Bantuan tersebut mula disalurkan bermula hari ini sama ada melalui pembayaran yang dikreditkan ke akaun bank penerima atau menggunakan kaedah baucar tunai mahupun serahan tunai.

“Semakan status bantuan boleh dibuat secara dalam talian di ezo.zakatselangor.com.my,” katanya menurut Bernama selepas hadir program Program Simbolik Bantuan Ramadan dan Hari Raya LZS 2024, di Shah Alam.

Beliau berkata, peruntukan itu membabitkan 23,578 ketua keluarga asnaf fakir dengan jumlah bantuan sebanyak RM11.6 juta, RM18.6 juta kepada 39,936 ketua keluarga asnaf miskin, manakala RM1.7 juta diperuntukkan kepada 4,797 asnaf mualaf.

Ahmad Fadhil berkata, tahun ini, Petaling merupakan daerah diperuntukkan agihan zakat tertinggi iaitu RM6.2 juta membabitkan 13,045 asnaf fakir, miskin, dan mualaf, diikuti Klang (RM5.5 juta) dan Hulu Langat (RM4.7 juta).

Katanya, sempena Ramadan ini sebanyak 18 cawangan LZS di seluruh negeri akan beroperasi tujuh hari seminggu termasuklah Sabtu dan Ahad serta cuti umum.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.