Henti debat, fokus pembangunan Kg Baru Cina, kata Wee

Henti debat, fokus pembangunan Kg Baru Cina, kata Wee

Presiden MCA Wee Ka Siong berkata kerajaan perlu meningkatkan taraf ekonomi dan infrastruktur di komuniti itu.

Presiden MCA Wee Ka Siong mengakui terdapat perbezaan pendapat mengenai status warisan Kampung Baru Cina. (Gambar Facebook)
PETALING JAYA:
Presiden MCA Wee Ka Siong menggesa perdebatan mengenai kesesuaian Kampung Baru Cina dijadikan tapak warisan dunia Unesco dihentikan, sebaliknya usaha perlu ditumpukan untuk membangunkan kawasan tersebut.

Memetik kajian akademik Universiti Tunku Abdul Rahman, Wee berkata Kampung Baru Cina diwujudkan ketika Darurat untuk memindahkan kaum Cina di satu penempatan sebagai satu cara menangani aktiviti komunis.

“Kampung Baru ditubuhkan pada waktu itu untuk menempatkan semua orang Cina di satu kawasan kerana tidak mahu mereka memberi makanan kepada komunis.

“Berdasarkan fakta sejarah, kamu tidak boleh nafikan (Kampung Baru) ditubuhkan untuk tujuan ini ketika Darurat pada 1948 hingga 1960.

“Tetapi apa perkara yang paling penting adalah bagi kerajaan untuk menunjukkan komitmen bagi membangunkan kampung-kampung berkenaan,” katanya dalam satu sidang media.

Ahli Parlimen Ayer Hitam mengakui perbezaan pendapat mengenai status warisan Kampung Baru Cina, tetapi katanya, kerajaan tidak harus mengabaikan kebajikan dan pembangunan di komuniti itu.

“Sebagai bekas menteri yang pernah menyelia Kampung Baru, saya difahamkan perbincangan mengenai penetapan warisan akan membabitkan pelbagai perkara,” katanya.

Sebelum ini, Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming mencadangkan Kampung Baru Cina di Selangor dijadikan sebagai Tapak Warisan Dunia Unesco.

Bagaimanapun, Umno menentang keras cadangan itu dengan timbalan presidennya, Mohamad Hasan berkata, tiada keperluan untuk kampung itu dijadikan Tapak Warisan Dunia.

Sementara itu, Setiausaha Agung Umno Asyraf Wajdi Dusuki menegaskan bahawa cadangan sedemikian bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan yang mengiktiraf hanya bumiputera sebagai penduduk asal dengan hak keistimewaan tertentu.

Dianggarkan terdapat kira-kira 420 kawasan Kampung Baru Cina di seluruh negara.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.