Gubal undang-undang undi percaya PM baru dilantik, kata peguam

Gubal undang-undang undi percaya PM baru dilantik, kata peguam

Bastian Pius Vendargon mencadangkan Perlembagaan Persekutuan dipinda agar perdana menteri yang baharu dilantik menguji majoritinya di Dewan Rakyat.

Peguam Bastian Pius Vendargon berkata Putrajaya akan dapat meluluskan pindaan kerana ia mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang peguam menggesa pindaan Perlembagaan bagi mewajibkan perdana menteri baharu yang dilantik oleh Agong menguji sokongan majoritinya di Parlimen.

Bastian Pius Vendargon berkata, kerajaan boleh memasukkan klausa dalam Perlembagaan Persekutuan supaya individu dilantik itu mengemukakan undi percaya di Dewan Rakyat.

Katanya, sebagai alternatif undang-undang berasingan boleh digubal, atau Peraturan Tetap Dewan Rakyat dipinda, untuk mewajibkan undi pada hari pertama prosiding apabila Dewan bersidang.

“Perlembagaan boleh dipinda kerana kerajaan perpaduan mempunyai majoriti dua pertiga di Dewan Rakyat,” katanya kepada FMT.

Vendargon berkata, bekas perdana menteri Hussein Onn adalah yang pertama mengemukakan undi percaya pada 1976 walaupun gabungan Barisan Nasional (BN) mempunyai majoriti yang kuat.

Sebaliknya, Muhyiddin Yassin tidak menguji sokongannya apabila ia mendapat perhatian berikutan pengambilalihan jawatan eksekutif tertinggi pada Februari 2020, katanya.

“Parlimen ‘ditutup’ dan Muhyiddin sendiri digulingkan daripada kuasa 17 bulan kemudian.”

Vendargon mengulas perkara itu susulan kenyataan Ahli Parlimen Beruas Ngeh Koo Ham menggesa kerajaan menggubal undang-undang yang membolehkan Dewan Rakyat menentukan siapa menjadi perdana menteri.

Ketika membahaskan titah diraja Selasa lalu, Ngeh berkata undang-undang itu bagi menangani dakwaan pihak yang mengatakan mereka memiliki akuan berkanun mencukupi untuk membentuk kerajaan.

Sementara itu, peguam Haniff Khatri Abdullah, berkata tugas Yang di-Pertuan Agong untuk melantik perdana menteri, seperti diperuntukkan bawah Perkara 43(2)(a) Perlembagaan perlu dikekalkan.

Bagaimanapun, beliau bersetuju Dewan Rakyat boleh digunakan untuk menentukan sama ada perdana menteri mendapat sokongan majoriti.

Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan menyatakan Agong boleh melantik seorang perdana menteri “yang pada pertimbangannya berkemungkinan mendapat kepercayaan majoriti” Ahli Parlimen di Dewan Rakyat.

“Badan perundangan adalah tempat untuk menentukan sama ada perdana menteri yang dilantik mempunyai sokongan angka, tetapi bukan tempat untuk memilih ketua kerajaan,” kata Haniff, sambil menambah cadangan Ngeh akan mengganggu Perlembagaan sedia ada.

Memetik Langkah Sheraton yang membawa kepada Muhyiddin mengambil alih jawatan perdana menteri, beliau berkata rakyat mempunyai masalah dengan sikap kurang matang dalam kalangan ahli politik dan ketidakikhlasan matlamat politik mereka.

“Sebarang cadangan untuk menukar proses dan formula pelantikan perdana menteri tidak boleh dilakukan sesuka hati dengan meluluskan Akta Parlimen. Mana-mana undang-undang yang tidak selaras Perlembagaan akan terbatal dan tidak sah.”

Dalam pada itu, peguam Fahri Azzat membidas Ngeh dengan berkata ahli politik harus memahami Perlembagaan dan sejarahnya sebelum mendedahkan cadangan mereka kepada umum.

“Perundangan yang dicadangkan (Ngeh) tidak konsisten dengan Perkara 43(2)(a). Beliau tidak menyebut bagaimana perundangannya akan berfungsi dalam menghadapi peruntukan itu,” katanya.

Fahri berkata, cadangan Ahli Parlimen DAP itu memberi tumpuan terhadap perlunya wakil rakyat memahami piagam negara dan bertindak mengikut ketetapannya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.