Dakwa wang hilang, pendeposit Tabung Haji mohon maaf

Dakwa wang hilang, pendeposit Tabung Haji mohon maaf

Tabung Haji berkata pihaknya mengadakan pertemuan dengan pengadu dan memberikan penerangan terperinci berdasarkan bukti yang jelas.

Seorang wanita sebelum ini mendakwa kerugian lebih RM30,000, selepas wang dalam akaun Tabung Haji miliknya disyaki dipindahkan ke akaun milik orang lain.
KUALA LUMPUR:
Lembaga Tabung Haji (TH) menerima permohonan maaf daripada seorang pendepositnya, atas dakwaan kehilangan wang miliknya.

Bahagian Komunikasi Korporat TH dalam kenyataan memaklumkan insitusi itu, telah memberikan penerangan terperinci kepada pengadu berdasarkan bukti yang jelas, malah satu pertemuan juga diadakan bersama pendeposit iaitu Jabidah Monseri di Kuching, Sarawak, hari ini.

“Beliau melahirkan rasa kesal serta membuat permohonan maaf. TH menerima permohonan maaf dari beliau dan turut berterima kasih kepada Jabidah, atas kerjasama baik yang telah diberikan,” menurut kenyataan itu.

Media sebelum ini melaporkan seorang wanita mendakwa kerugian lebih RM30,000, selepas wang dalam akaun TH miliknya disyaki dipindahkan ke akaun milik orang lain.

Bagaimanapun, TH dalam satu kenyataan berkata dakwaan pendeposit itu tidak tepat sebaliknya wang wanita itu dimasukkan ke dalam akaun bank miliknya sendiri.

Dalam pada itu, TH turut menegaskan institusi itu mempunyai sistem pengurusan deposit yang selamat dan teguh, serta sentiasa memberi perhatian serius terhadap keselamatan dan integriti operasi.

Menurut kenyataan itu, platform dalam talian iaitu THiJARI juga telah dibangunkan dengan ciri-ciri keselamatan menepati standard dan amalan terbaik pasaran, setaraf dengan aplikasi yang digunakan oleh institusi perbankan.

Untuk sebarang pertanyaan berkenaan transaksi yang mencurigakan, pendeposit boleh menghubungi Hotline Tabung Haji Contact Centre (THCC) di talian 03-62071919.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.