TalentCorp diberi mandat badan pemikir Kementerian Sumber Manusia

TalentCorp diberi mandat badan pemikir Kementerian Sumber Manusia

Agensi itu diamanahkan untuk merancang strategi bagi pembangunan dasar, advokasi dan perancangan masa depan Kementerian Sumber Manusia.

Projek pertama TalentCorp ialah menghasilkan laporan mengenai impak kecerdasan buatan, digitalisasi dan ekonomi hijau ke atas tenaga kerja serta landskap kerja Malaysia. (Gambar fail)
PETALING JAYA:
Menteri Sumber Manusia, Steven Sim memberi mandat kepada Talent Corporation Malaysia Berhad (TalentCorp) untuk berkhidmat sebagai badan pemikir strategik kementeriannya.

Dengan memperluaskan mandat baharu kepada TalentCorp, Sim menekankan kepentingan intelektual serta kebijaksanaan yang diamanahkan kepada agensi itu untuk merancang strategi bagi pembangunan dasar, advokasi dan perancangan masa depan kementerian berkenaan.

“Kita berada dalam dunia semakin berpecah belah dengan pasaran semakin mengecil. Sebagai pembuat dasar, kita perlu memahami landskap global untuk kekal relevan dan kreatif bagi memanfaatkan peluang jangka pendek dan meletakkan asas untuk penyelesaian jangka panjang serta mampan.

“Saya melihat TalentCorp memainkan peranan penting selaku badan pemikir kementerian, yang bekerjasama dengan jabatan dan agensi kementerian untuk menangani cabaran semakin berkembang dalam tenaga kerja di Malaysia. TalentCorp berada dalam kedudukan unik untuk memainkan peranan tersebut melalui pelbagai program yang dikhususkan bagi bakat tempatan dan global, serta menjalin kerjasama rentas kementerian, agensi, industri dan akademia.”

Beliau berkata, tanggungjawab yang diberikan kepada TalentCorp sebagai badan pemikir kementerian itu akan menjadi elemen tambahan seiring fungsi utama agensi berkenaan dan tiada sebarang peruntukan tambahan diperlukan dalam menggalas mandat baharu ini.

Beliau mengumumkan perkara itu di depan pengurusan tertinggi Kementerian Sumber Manusia, 15 peneraju industri dan 13 wakil dari lembaga latihan negeri dalam mesyuarat pertama “Future Skills Talent Council TalentCorp” (FSTC) bagi sektor elektrik dan elektronik (E&E) di Georgetown, Pulau Pinang pada 6 Mac lalu.

FSTC merupakan inisiatif dipacu industri, di mana ahli majlis FSTC akan mengenal pasti kemahiran serta bentuk latihan diperlukan sektor mereka. Ahli FSTC E&E terdiri daripada pemimpin industri, termasuk Jabil Circuits, Flextronics Technology, Micron Memory Malaysia, Motorola Solutions, Denso Malaysia dan Bosch Rexroth.

Dalam mesyuarat sulung mereka, Lau Kean Cheong, CEO Inari Amertron Berhad, dipilih sebagai pengerusi pertama FSTC E&E.

Dalam majlis sama, Sim turut mengumumkan projek pertama yang akan dilaksanakan TalentCorp di bawah peranan baharunya.

“TalentCorp dipertanggungjawabkan untuk menghasilkan laporan mengenai impak kecerdasan buatan, digitalisasi dan ekonomi hijau ke atas tenaga kerja serta landskap kerja Malaysia.

“Kajian ini akan menjadi bahan rujukan bukan sahaja kepada penggubal dasar, malahan kepada industri, khususnya PKS dalam penyediaan tenaga kerja masa depan.

“Ahli Majlis FSTC yang terdiri daripada pemimpin industri akan memainkan peranan penting sebagai badan penasihat dalam kajian itu.”

Kajian itu akan dijalankan dalam dua fasa, dengan fasa 1 dijangka siap menjelang September ini.

Ditubuhkan pada 2011, TalentCorp ditugaskan untuk memacu strategi bakat Malaysia bagi memupuk, menarik dan mengekalkan tenaga pakar yang tepat dalam menggalakkan pertumbuhan ekonomi.

Agensi itu menjalankan usaha untuk menyokong dasar, memacu kerjasama kukuh dan berkesan, memperkenalkan amalan terbaik, serta membangunkan program intervensi berpaksikan tiga teras strategik, iaitu mengoptimumkan bakat Malaysia, menarik dan memudahcara bakat global serta mewujudkan rangkaian bakat terbaik.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.