
Azrul Khalib, CEO Pusat Galen bagi Dasar Kesihatan dan Sosial berkata, pekerja asing berdepan kekangan kewangan ketara ketika cuba mengakses perkhidmatan penjagaan kesihatan di Malaysia.

“Pekerja asing berdokumen selalunya didaftarkan dalam Skim Perlindungan Insurans Kesihatan Pekerja Asing (Spikpa),” katanya kepada FMT.
Tetapi, beliau mempersoalkan sama ada perlindungan ditawarkan cukup untuk memenuhi keperluan perubatan mereka dan sama ada perlindungan dibeli itu memang disampaikan kepada kerajaan.
Dua minggu lalu, Ketua Pengarah Kesihatan, Dr Radzi Abu Hassan dilaporkan berkata, sehingga akhir 2023, tunggakan bil hospital warga asing, khasnya pendatang tidak berdokumen, kira-kira RM100 juta dan kementeriannya sedang membincangkan isu itu.
Azrul berkata, walaupun perlindungan diberikan, pekerja asing lazimnya terpaksa membayar sendiri kos perubatan kerana skim itu hanya menawarkan perlindungan terhad untuk caj kemasukan dan pembedahan di hospital kerajaan.
Katanya, ramai pekerja asing, khasnya yang tidak berdokumen, lambat mendapatkan rawatan kerana bimbang terpaksa menanggung kos tinggi rawatan dan kemasukan ke hospital.
“Kebimbangan dikenakan tindakan oleh pihak berkuasa juga menghalang ramai pendatang tidak berdokumen daripada mengakses penjagaan kesihatan sehingga terdesak dan lebih mahal.”
Bergantung kepada maklumat Kementerian Kesihatan (KKM), Azrul berkata, kemungkinan bayaran insurans juga tidak sampai kepada KKM dan secara alternatif, perlindungan yang dibeli mungkin tidak cukup untuk memenuhi keperluan penjagaan kesihatan mereka.

Presiden Persatuan Perubatan Malaysia (MMA), Dr Azizan Abdul Aziz berkata, pendatang tanpa dokumen yang memerlukan rawatan perubatan tiada jaringan keselamatan kewangan diperlukan seperti golongan berdokumen dan bergantung sepenuhnya kepada majikan untuk membiayai rawatan perubatan mereka.
“Majikan yang mengambil pekerja tanpa dokumen mungkin hanya sanggup membiayai penjagaan kesihatan pekerja mereka sehingga satu tahap,” katanya kepada FMT.
Beliau berkata, satu sistem diperlukan untuk memastikan semua pesakit bukan warganegara membayar rawatan perubatan mereka.
“Memandangkan keadaan mungkin rumit, usaha melaksanakan mekanisme ini memerlukan libat urus dengan pihak berkepentingan, termasuk NGO, untuk mendapatkan pandangan dan input.
“Kami turut menggesa kerajaan mengadakan libat urus dengan pelbagai kedutaan asing dalam isu pendatang tanpa izin. Perlu ada akauntabiliti daripada negara terbabit, jika rakyat mereka memasuki Malaysia secara haram.”
Sejak 1 Jan 2016, warga asing bertanggungjawab sepenuhnya atas semua perbelanjaan berkaitan rawatan perubatan di hospital dan klinik kerajaan.
Menteri Kesihatan ketika itu, Dr S Subramaniam dilaporkan berkata, pelarasan subsidi penjagaan kesihatan untuk warga asing sebahagian langkah penjimatan kos dilaksanakan ekoran kesukaran ekonomi dihadapi negara.