Siasat laporan HRW bukan nafi, kerajaan diberitahu

Siasat laporan HRW bukan nafi, kerajaan diberitahu

Dua pemimpin NGO berkata dakwaan pencabulan hak asasi manusia dan penderaan di pusat tahanan imigresen bukan perkara mengejutkan.

Laporan Human Rights Watch mendakwa tahanan melalui keadaan hidup yang teruk, kekurangan rawatan perubatan dan penyeksaan serta penderaan di pusat tahanan imigresen. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Aktivis hak asasi manusia menggesa kerajaan menyiasat dakwaan penyeksaan dan penderaan di pusat tahanan, bukan menafikan laporan oleh Human Rights Watch (HRW).

John Quinley dari Fortify Rights yang berpangkalan di Bangkok berkata, pelaku termasuk mereka yang mendera pelarian di depot imigresen di seluruh negara mesti bertanggungjawab atas tindakan itu.

“Laporan HRW penting untuk mendesak kerajaan Malaysia menamatkan penahanan pelarian tanpa had. (Putrajaya) mesti menyiasat dakwaan penyeksaan dan layanan buruk yang digariskan dalam laporan itu,” katanya kepada FMT.

Kenyataan Quinley susulan laporan HRW pada 6 Mac yang mendakwa pelanggaran hak asasi manusia dan penderaan di pusat tahanan imigresen di Malaysia.

Laporan itu berdasarkan temu bual dengan 43 bekas tahanan yang didakwa dilayan dengan buruk, kekurangan rawatan perubatan dan penyeksaan serta penderaan yang dikatakan mengakibatkan “banyak” kematian.

Ia mendakwa wanita dan kanak-kanak juga mengalami penderaan dan pengabaian, dengan lebih 1,400 kanak-kanak ditahan, dua pertiga daripadanya tidak ditemani atau dipisahkan daripada keluarga mereka dan sering ditahan bersama orang dewasa yang tidak mempunyai hubungan.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail, mempersoalkan kredibiliti laporan itu, menimbulkan keraguan terhadap sumber HRW dan menggesa kumpulan berkenaan menyatakan lokasi pusat terbabit.

Adrian Pereira.

Seorang lagi aktivis hak asasi manusia, Adrian Pereira, menggesa Saifuddin memberikan statistik terkini kanak-kanak yang dipindahkan dari depot imigresen ke pusat perlindungan sementara.

“Kita tidak tahu apakah kapasiti (semasa) Baitul Mahabbah ini. Jadi, menjadi tugas menteri untuk memberi jawapan,” katanya, sebagai respons kepada Saifuddin yang berkata beliau tahu “jumlah sebenar kanak-kanak” di setiap pusat tahanan.

Pengarah Eksekutif Tenaganita, Glorene Das, mempertahankan kredibiliti laporan HRW, sambil berkata kumpulan itu tidak menghasilkan penemuan berdasarkan “andaian dan khabar angin”, selepas dia bekerja bersama mereka selama bertahun-tahun.

“Semua yang diketengahkan dalam laporan itu bukan sesuatu yang baru atau mengejutkan kami di Tenaganita, kerana pengalaman kami sendiri terlibat dengan pekerja asing, pencari suaka dan pelarian sejak tiga dekad lalu.”

Glorene Das.

Sementara itu, jurucakap Pesuruhjaya Tinggi Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu bagi Pelarian (UNHCR), Yante Ismail, berkata agensi tersebut bimbang dengan individu yang ditahan di pusat tahanan imigresen.

Beliau berkata, UNHCR sentiasa bersedia untuk membantu kerajaan dalam menghasilkan alternatif kepada penahanan, terutama bagi pelarian dan pencari suaka yang terdedah, seperti kanak-kanak dan warga emas.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.