Edar hampir 200kg dadah, mekanik dihukum mati

Edar hampir 200kg dadah, mekanik dihukum mati

Mahkamah Tinggi Tawau membuat keputusan itu terhadap Tai Chee Khiong selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah.

Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhkan hukuman gantung sampai mati terhadap seorang mekanik, Tai Chee Khiong kerana mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat hampir 200kg, dua tahun lalu. (Gambar Bernama)
PETALING JAYA:
Seorang mekanik dijatuhi hukuman gantung sampai mati oleh Mahkamah Tinggi Tawau hari ini kerana mengedar dadah jenis Methamphetamine seberat hampir 200kg, dua tahun lalu.

Hakim Lim Hock Leng membuat keputusan itu terhadap Tai Chee Khiong selepas mendapati pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes melampaui keraguan munasabah, menurut Harian Metro.

Ketika membacakan keputusan itu, Lim berkata tertuduh didapati mempunyai pengetahuan dan milikan secara langsung terhadap dadah seberat 199,950.01 gram dan mensabitkannya dengan pertuduhan.

Menurutnya, walaupun ia kesalahan pertama tertuduh, tetapi dalam menjatuhi hukuman, mahkamah mengambil kira jumlah berat dadah yang terbabit dalam kes itu yang merupakan yang terbesar di Sabah setakat ini.

Katanya, sepanjang tiga tahun kebelakangan ini, mahkamah tinggi itu pernah mensabitkan kesalahan berkaitan kes dadah masing-masing membabitkan berat 35kg, 12kg, 10kg, 7kg dan 4kg tetapi masih belum dapat menyamai berat dadah yang terlibat dalam kes berkenaan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa mengedar dadah di kawasan Kampung Batu Payung, pada 7.30 malam, 6 Sept 2021.

Dakwaan terhadapnya dikemukakan mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang boleh dihukum mengikut Seksyen 39B(2) akta sama yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara seumur hidup atau jika tidak dijatuhi hukuman mati, dihukum tidak kurang 15 sebatan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Hurman Hussain bersama Mohd Suhaimi Suriana manakala tertuduh diwakili peguam Darmin Acok.

Terdahulu, Hurman dalam hujahnya berkata, walaupun budi bicara terletak kepada mahkamah untuk menjatuhi hukuman sama ada tertuduh dikenakan hukuman gantung sampai mati atau penjara seumur hidup iaitu 30 tahun serta minimum 12 sebatan, pihaknya memohon supaya hukuman gantung sampai mati dikenakan mengambil kira jumlah berat dadah terlibat selain faktor kepentingan awam.

Selain itu, katanya, berdasarkan keterangan saksi pendakwaan yang juga juruanalisa Jabatan Kimia Malaysia Sabah mendapati, kes itu juga membabitkan jumlah sampel dadah dan jumlah sampel positif terbesar pernah direkodkan oleh jabatan berkenaan.

Untuk rekod, sabitan kes hari ini juga adalah kes pertama Mahkamah Tinggi Tawau menjatuhi hukuman mati selepas pemansuhan hukuman mati mandatori 2023 yang berkuasa 4 Julai 2023.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.