ECRL mampu tingkat 3.8% KDNK menjelang 2047

ECRL mampu tingkat 3.8% KDNK menjelang 2047

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata projek ECRL mampu melonjakkan perdagangan dan meningkatkan pelancongan.

Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) sepanjang 665km sudah 62 peratus siap dan bakal menghubungkan pantai timur dan barat Malaysia. (Gambar Bernama)
KUALA LUMPUR:
Projek Laluan Rel Pantai Timur (ECRL) dijangka menyumbang peningkatan 3.8% kepada keluaran dalam negara kasar (KDNK) negara menjelang 2047 dengan melonjakkan perdagangan, meningkatkan pelancongan dan merangsang pembangunan serantau.

Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Perindustrian Tengku Zafrul Abdul Aziz berkata projek ECRL bernilai hampir RM75 bilion, ia bukan sekadar rangkaian rel yang merentasi Kelantan, Terengganu, Pahang dan Selangor tetapi adalah asas pertumbuhan ekonomi dan kemajuan sosial.

“ECRL akan menjadi anjakan perubahan untuk Malaysia, menghubungkan dengan lebih dekat dengan rangkaian kereta api Pan-Asia dan meningkatkan hubungan Malaysia dengan rantau Asean dan Eurasia (Eropah dan Asia).

“Meliputi 665km dan menghubungkan pantai timur dan barat Malaysia, ECRL mewakili integrasi penting Malaysia ke dalam rangkaian perdagangan dan pertukaran budaya yang lebih luas,” katanya ketika menyampaikan ucaptama di seminar mengenai peluang pelaburan dan perniagaan projek pemecut ekonomi (EAP- ECRL).

Tengku Zafrul berkata dengan memudahkan pergerakan dari barat ke timur pada kadar lebih pantas dan menawarkan pintu masuk maritim alternatif untuk aliran kargo dan penumpang, ia dapat mengurangkan masa perjalanan kapal kargo kira-kira dua setengah hari antara Pelabuhan Klang dan Pelabuhan Kuantan.

“Setakat Feb 2024, projek itu sudah siap 62% dengan jajaran setiap negeri berjalan lancar,” katanya.

Projek berkenaan disasarkan siap pada Dis 2026 dan operasi bermula pada Jan 2027, ECRL-EAP bakal menambah baik landskap ekonomi dan ketersambungan Malaysia.

“Justeru, kami melihat potensi besar bagi syarikat pelaburan berkaitan kerajaan (GLIC) dan peserta sektor swasta untuk mengambil bahagian secara aktif dan melabur dalam projek di sepanjang koridor ECRL tersebut,” katanya.

Perdana Menteri Anwar Ibrahim baru-baru ini mengumumkan peruntukan dana sebanyak RM1 bilion sebagai sebahagian daripada Agenda Baharu Pemerkasaan Bumiputera yang akan diuruskan oleh GLIC.

Ia bertujuan untuk memupuk generasi baharu usahawan Bumiputera dalam sektor pertumbuhan tinggi.

Miti dan agensinya khususnya Mida akan terus meletakkan Malaysia sebagai pintu masuk serantau untuk perniagaan antarabangsa dan syarikat multinasional (MNC).

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.