
Naib Ketua Alumni 4B Terengganu, Muhammad Suza Amsyari Sulaiman berkata, penyediaan kediaman untuk orang muda sepatutnya menjadi keutamaan seperti dijanjikan menerusi projek rumah mampu milik yang menyasarkan 20,000 unit rumah dibina dari 2018 hingga 2023.
Dakwanya, ramai masih menantikan janji itu memandangkan rumah murah di Terengganu belum mencukupi.
“Kalau mereka nak siapkan, sudah lama (siap) kerana dari 2018 telah dapat berbilion royalti petroleum dan kerajaan negeri boleh memperuntukkan wang itu untuk membina rumah mampu milik, tetapi litar lumba pula jadi keutamaan berbanding rumah tempat berteduh,” katanya kepada FMT.
Selasa lalu, Razali dalam hantaran Facebook berkata, kerajaan negeri sedang mempertimbangkan pembinaan litar sederhana seperti Litar Batu Tiga di Shah Alam yang pernah menjadi perhatian peminat sukan permotoran dari 1968 hingga 1998.
Ketua penerangan Bersatu itu berkata, cadangan terbabit timbul kerana Terengganu menjadi destinasi mat motor.
Ketika ini, program permotoran termasuk membabitkan acara motosikal diadakan di Litar Permotoran Terengganu, Kompleks Sukan Gong Badak, Kuala Nerus.
Suza berkata, ramai warganet dalam ruang komen di bawah hantaran itu meminta cadangan itu diketepikan, lebih-lebih lagi dalam keadaan ekonomi belum kukuh.
“Selain isu perumahan, ada juga yang meminta kerajaan negeri memajukan sektor pelancongan seperti yang giat dibuat pentadbiran sebelum ini.”