Syed Hussin nafi ambil tugas menteri berkait beras Madani

Syed Hussin nafi ambil tugas menteri berkait beras Madani

Ahli Parlimen Bukit Gantang berkata tugasnya hanya membantu perdana menteri yang juga pengerusi Naccol.

Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal berharap Kawalselia Padi Beras KPKM melaksanakan amanah dengan bersungguh-sungguh serta memberikan maklumat betul kepada perdana menteri.
KUALA LUMPUR:
Syed Abu Hussin Hafiz Syed Abdul Fasal menafikan ingin mengambil tugas menteri selepas didakwa mengumumkan secara tergesa-gesa pengenalan beras putih Malaysia Madani yang belum diputuskan kerajaan.

Ketua jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup itu berkata, tugasnya hanya membantu Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang juga pengerusi Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (Naccol).

“Sebagai ketua ‘task force’, saya tidak mengambil alih tugas mana-mana menteri sama ada menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) mahupun Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN),” katanya dalam perbahasan titah diraja di Dewan Rakyat.

Pada 17 Feb lalu, dua wakil rakyat Pakatan Harapan (PH) menegur Syed Hussin (PN-Bukit Gantang) selepas mengumumkan pengenalan beras putih Malaysia Madani.

Aminolhuda Hassan (Sri Gading) dan Hassan Karim (Pasir Gudang) mempersoalkan bagaimana Syed Hussin yang bukan anggota Jemaah Menteri, hanya mengetuai jawatankuasa menangani harga makanan dan kos sara hidup mendahului kerajaan mengumumkan dasar penting itu.

Sebelum itu, Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan Mohamad Sabu menjelaskan pengenalan satu gred beras putih dikenali beras Madani diumum Syed Hussin sebagai kekeliruan dan belum diputuskan kerajaan.

Sementara itu, Syed Hussin memberi peringatan kepada lima pengilang besar yang mengawal 80% pasaran padi dan beras tempatan supaya tidak menjadikan ketamakan untuk mengaut keuntungan berlebihan sehingga rakyat dan kerajaan terjebak menjadi mangsa krisis.

Beliau berharap Kawalselia Padi Beras KPKM melaksanakan amanah dengan bersungguh-sungguh serta memberikan maklumat betul dan tepat kepada Anwar.

“Ini supaya membolehkan mereka membuat keputusan segera dan tepat untuk kepentingan rakyat.

Beliau turut menggesa Task Force Khas Operasi Bersepadu Beras Putih Tempatan (OP BPT) dibentangkan di Dewan Rakyat.

Katanya, pada Oktober lalu KPKM sudah menyelaraskan OP BPT dan setuju menurunkan kuasa bawah Akta 522 kepada agensi penguatkuasaan menjalankan pemeriksaan.

“Namun, setelah lima bulan OP BPT itu dijalankan, kami Ahli Parlimen masih membangkitkan isu ketiadaan beras putih tempatan,” katanya.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.