Rugi RM1 bilion: Felda kata bukan sebab rasuah, lemah tatakelola

Rugi RM1 bilion: Felda kata bukan sebab rasuah, lemah tatakelola

Sebaliknya kerugian antaranya disebabkan faktor penyahiktirafan dan ukuran semula pinjaman dengan nilaian RM339.01 juta bertujuan ringankan beban peneroka.

Pada 2022, Felda rekod keuntungan operasi RM19.56 juta, manakala Kumpulan Felda rekod keuntungan sebelum cukai RM449 juta.
KUALA LUMPUR:
Felda akan terus meningkatkan kecekapan operasi dan tadbir urus telus dan mengoptimumkan kecekapan produktiviti, supaya agensi itu terus relevan pada masa hadapan.

Merujuk Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) mengenai penyata kewangan Agensi Persekutuan 2022 yang menunjukkan Felda mengalami kerugian selepas cukai RM1.005 bilion, Felda memaklumkan kerugian itu tidak merujuk kepada salah guna, amalan rasuah dan kelemahan tatakelola pengurusan.

Felda menerusi kenyataan memaklumkan, kerugian tersebut disebabkan faktor kesan ke atas penyahiktirafan dan pengukuran semula pinjaman peneroka dengan nilaian RM339.01 juta atas tujuan meringankan bebanan warga peneroka.

Selain itu, penjamin korporat bagi pinjaman pembelian PT Eagle High Plantations yang dibuat melalui FIC Properties Sdn Bhd sebanyak RM379.85 juta serta penjejasan pinjaman kepada anak-anak syarikat seperti Kumpulan FIC dan Dataran Aras Sdn Bhd berjumlah RM192.66 juta.

Menurut kenyataan itu pada 2022, Felda merekodkan keuntungan operasi RM19.56 juta, manakala Kumpulan Felda telah merekodkan keuntungan sebelum cukai sebanyak RM449 juta.

Semalam, LKAN mengesyorkan Felda perlu menetapkan satu hala tuju baharu yang jelas, supaya dapat terus beroperasi dengan prestasi kewangan yang kukuh tanpa kebergantungan tinggi kepada bantuan dan sokongan kewangan kerajaan Persekutuan.

Laporan itu turut mencadangkan Felda meningkatkan pemantauan terhadap operasi dan prestasi kewangan syarikat subsidiarinya, bagi memastikan kelestarian syarikat dapat dikekalkan tanpa bergantung kepada agensi induk, seterusnya mampu memberi pulangan yang baik kepada Felda.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.