
Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT) Umno, Puad Zarkashi, berkata Rashid yang juga bekas ketua Bersatu Selangor lebih takut jika parti itu karam, berbanding pindaan Perkara 10 Perlembagaan pada 2 Mac lalu, menyatakan wakil rakyat menyokong pihak bertentangan dengan arahan atau pendirian parti akan terlucut keahlian secara automatik.
“Rashid melakukan kamikaze kerana Bersatu baru pinda perlembagaan parti. Dia tidak takut pada pindaan. Dia lebih takut kapal Bersatu yang akan karam,” kata Puad di Facebook.
“Tindakan Rashid menyokong kepimpinan menteri besar Selangor merupakan tempeleng maut kepada Azmin Ali.”
Semalam, Rashid mengumumkan sokongan kepada pentadbiran Amirudin, namun kekal ahli Bersatu.
Wakil rakyat penggal kedua itu mendakwa berbuat demikian selepas meneliti perkembangan terkini terutama tindakan Perikatan Nasional (PN) berdiam diri berhubung tohmahan terhadap raja-raja Melayu.
Selain Rashid, ada laporan media mendakwa lima lagi Adun Bersatu akan mengalihkan sokongan iaitu Wan Dzhahanurin Ahmad (Sungai Kandis), Harrison Hassan (Jeram), Muhammad Muhaimin Harith Abdullah Sani (Batang Kali), Jamil Salleh (Dengkil) dan Rosnizan Ahmad (Morib).
Bagaimanapun, Wan Dzhahanurin menafikan laporan itu semalam selain disanggah Ketua Bersatu Selangor Azmin Ali.
Puad menambah jika benar ada lagi lima Adun Bersatu mengikut jejak langkah Rashid, bermakna Azmin tidak kuat di Selangor.