
Pengerusi PAC, Mas Ermieyati Samsudin, berkata pihaknya juga akan memanggil tiga pengurusan tertinggi LTAT yang meletak jawatan iaitu bekas pengerusi Raja Mohamed Affandi Raja Mohamed Noor, bekas ketua pegawai eksekutif Ahmad Nazim Abd Rahman dan bekas pengarah kanan strategi Dayana Rogayah Omar.
“Prosiding LTAT akan diadakan selepas sambutan Hari Raya Aidilfitri dan PAC akan memanggil semua pihak berkaitan memandangkan isu ini amat kritikal membabitkan 122,935 pencarum anggota tentera,” katanya dalam sidang media di Parlimen.
Semalam, Laporan Ketua Audit Negara (LKAN) Tahun 2022 mendedahkan rizab LTAT dilaporkan berbaki negatif RM0.338 bilion pada 2022.
Katanya, LTAT merekodkan keuntungan bukan tunai sebanyak RM0.189 bilion yang digunakan sebagai asas untuk pembayaran dividen tahun 2022 kepada pencarum.
Agensi persekutuan itu juga dilaporkan tidak membuat penjejasan nilai terhadap pelaburan dalam syarikat subsidiari berjumlah RM0.812 bilion.
“PAC amat bimbang dengan kedudukan kewangan LTAT selepas pendedahan bahawa rizab LTAT berbaki negatif sekali gus menimbulkan persoalan kemampuannya membayar dividen kepada pencarum,” kata Mas Ermieyati.
Sementara itu, beliau berkata pihaknya akan membuat keputusan mengenai Felda dan Perbadanan PR1MA Malaysia (PR1MA) yang dilaporkan turut mengalami masalah kewangan selepas prosiding LTAT selesai.
“Ketua Audit Negara dalam pembentangan itu menyenaraikan tiga agensi yang perlu diberikan perhatian oleh PAC untuk dipanggil bagi prosiding iaitu Felda, LTAT dan PR1MA berikutan terdapat masalah dalam penyata kewangan tahun 2022. PAC telah membuat keputusan untuk memanggil LTAT terlebih dahulu.
“Untuk dua lagi agensi iaitu Felda dan PR1MA, PAC akan membuat keputusan selepas prosiding LTAT.”
Felda dilaporkan mengalami kerugian bersih berjumlah RM1.005 bilion pada 2022, peningkatan berbanding RM545 juta pada 2021.
Sementara PR1MA mengalami kerugian bersih RM0.257 bilion, manakala liabiliti berjumlah RM5.746 bilion pada 2022.