Malaysia menang ‘unsur penting’ pertikaian biobahan api dengan EU

Malaysia menang ‘unsur penting’ pertikaian biobahan api dengan EU

Kerajaan Malaysia turut berjaya mencabar beberapa langkah diambil oleh Perancis, kata Johari Ghani.

Johari Ghani berkata, WTO mengarahkan EU dan Perancis untuk mengambil langkah memenuhi kewajipan mereka sebelum mengenakan sekatan terhadap produk biobahan api Malaysia.
PETALING JAYA:
Malaysia memenangi beberapa “unsur penting” dalam pertikaian dengan Kesatuan Eropah (EU) berhubung arahan kumpulan itu berkait tenaga boleh baharu, dikenali sebagai RED II, kata Johari Ghani.

Menteri perladangan dan komoditi itu berkata, kerajaan Malaysia turut berjaya mencabar beberapa langkah diambil oleh Perancis.

Johari memberitahu FMT, kejayaan utama Malaysia adalah dalam mencabar penggunaan “perubahan guna tanah tidak langsung” (ILUC) oleh EU dan syarat “risiko ILUC rendah” untuk meletakkan sekatan perdagangan terhadap eksport biobahan api minyak sawit Malaysia.

ILUC merujuk kepada kesan peningkatan permintaan bahan mentah biobahan api terhadap pertanian global, termasuk melalui peluasan tanah dan penebangan hutan, manakala risiko ILUC mengukur potensi kesan tidak langsung pengeluaran biobahan api.

Menjelaskan keputusan Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO) pada Selasa, Johari berkata, sebuah panel tiga anggota memutuskan bahawa beberapa langkah yang diambil oleh EU dan Perancis adalah “tidak konsisten dengan peraturan WTO”.

Panel itu juga menyatakan bahawa produk serupa yang terdapat di pasaran EU tidak tertakluk kepada sekatan yang sama.

“EU dan Perancis kini mesti mengubah langkah-langkah mereka agar mematuhi kewajipan terhadap WTO,” katanya.

Khususnya, kata Johari, laporan panel itu mendapati peraturan “had risiko tinggi ILUC” dan “penghentian berperingkat” yang dikenakan oleh EU melanggar perjanjian Halangan Teknikal kepada Perdagangan (TBT) WTO yang diwujudkan untuk mengelak halangan yang tidak perlu ketika menjalankan perniagaan dalam EU.

Beliau berkata, panel itu juga memutuskan bahawa peraturan itu melanggar perjanjian pelbagai hala mengenai perdagangan barangan, yang dikenali sebagai Perjanjian Am Mengenai Tarif dan Perdagangan (GATT) 1994.

Pelanggaran, diskriminasi EU

“Panel itu berkata, tindakan EU mendiskriminasi biobahan api berasaskan minyak sawit dari Malaysia, berbanding produk serupa dari EU, adalah salah,” katanya.

Johari berkata, EU turut melakukan diskriminasi terhadap Malaysia dalam perhitungan risiko ILUC.

“Panel itu mendapati, EU melanggar kewajipannya apabila gagal menjalankan semakan risiko secara berkala dan mengemas kini data asas,” tambahnya.

Johari berkata, panel itu juga mendapati kelemahan dalam pelaksanaan prosedur risiko ILUC rendah Perancis. Prosedur itu direka bentuk untuk membolehkan beberapa biobahan api berasaskan tanaman kelapa sawit kembali ke pasaran EU walaupun dengan rancangan penghentian berperingkat 2030.

Panel itu juga memutuskan, pemotongan cukai biobahan api di Perancis yang tidak terpakai bagi produk berasaskan minyak sawit dari Malaysia bersifat diskriminasi.

“EU tidak menganggap kelapa sawit sebagai tanaman saka,” kata Johari.

Beliau berkata, EU diarah membentangkan draf langkah-langkah kepada jawatankuasa WTO TBT agar perbincangan sewajarnya dapat dijalankan.

“Malaysia berulang kali meminta perbincangan itu semasa proses perundangan EU menjelang penerimaan RED II, tetapi tidak diendahkan,” katanya.

Johari berkata, kekurangan sama dalam libat urus dan dialog juga dilihat dalam langkah sekatan lain yang dikenakan oleh EU, seperti peraturannya mengenai produk bebas penebangan hutan, atau EUDR.

Penemuan tidak memihak kepada Malaysia

Bagaimanapun, menurut Johari, majoriti panel tiga anggota WTO tidak bersetuju dengan pendirian Malaysia dalam beberapa perkara.

Panel itu memutuskan bahawa dasar EU mengenai pemuliharaan sumber semula jadi yang tidak boleh dibaharui diperlukan untuk melindungi kehidupan atau kesejahteraan manusia, haiwan atau tumbuhan, walaupun ia mempunyai ciri-ciri tertentu yang “bersifat diskriminasi dan sembarangan”.

“Ini bermakna EU akan dibenarkan mengekalkan had risiko tinggi ILUC dan peraturan penghentian berperingkat,” katanya.

“Malangnya, ini akan mengakibatkan penyingkiran biobahan api minyak sawit Malaysia secara beransur-ansur daripada pasaran EU, menjurus kepada kehilangan peluang komersial masa depan.”

Panel itu juga menolak pelbagai langkah yang dicadangkan oleh kerajaan sebagai alternatif berdaya maju bagi mekanisme ILUC.

Selain itu, panel itu menolak pertikaian Malaysia bahawa pengurangan cukai biobahan api oleh Perancis melanggar perjanjian WTO mengenai subsidi dan langkah balas.

Johari berkata, satu-satunya ahli panel yang tidak bersetuju membuat keputusan memihak kepada Malaysia dalam semua isu.

Dalam kenyataan ringkas pada Rabu, Johari berkata, panel itu mendiskriminasi Malaysia dengan mengenakan sekatan terhadap biobahan api minyak sawitnya.

Katanya, EU telah bersetuju untuk mematuhi peraturan WTO sebelum mengenakan sebarang sekatan terhadap pengimportan biobahan api minyak sawit Malaysia, dan kerajaan akan memantau dengan teliti perkara itu bagi memastikan peraturan EU selaras dengan penemuan itu.

Stay current - Follow FMT on WhatsApp, Google news and Telegram

Subscribe to our newsletter and get news delivered to your mailbox.