
Diadakan sempena Hari Wanita Antarabangsa, konvensyen sehari itu mahu menyeru semua pihak menggiatkan lagi usaha mencapai kesaksamaan dengan mengambil wanita tempatan berbakat bekerja, dan memecutkan kemajuan mereka.
Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan TalentCorp, Thomas Mathew, menjangkakan kira-kira 1,000 peserta menghadiri acara di Connexion Conference & Event Centre di Nexus, Bangsar South, yang juga akan disiarkan secara langsung.
“Acara tahun ini dijangka menarik penyertaan hadirin yang majmuk, termasuk wanita sedang bekerja, wanita yang kembali bekerja, dan bakat-bakat berjawatan tinggi.”
“Matlamat utama konvensyen ini ialah menyediakan peluang kerjaya kepada wanita pelbagai latar belakang, terutama untuk menangani isu pengangguran dan guna tenaga tidak penuh dalam kalangan wanita dan warga emas, dengan meningkatkan akses mereka kepada pasaran kerja,” katanya kepada FMT.
Katanya, selaku agensi Kementerian Sumber Manusia yang ditugaskan untuk memacu strategi membangunkan bakat negara, TalentCorp bersungguh untuk memperjuangkan keberadaan wanita di tempat kerja.
“Kajian menunjukkan tempat kerja yang majmuk menyumbang kepada prestasi lebih baik dari segi kewangan dan mengekalkan pekerja berbakat. Mengalakkan kesaksamaan dan meningkatkan penyertaan wanita dalam tenaga kerja adalah langkah ekonomi yang wajar dan bijak.
“Kami komited menyokong wanita memasuki pasaran kerja, kerana kami percaya terdapat banyak bakat wanita yang luar biasa. Baru-baru ini, kami mengumumkan Wanita MyWIRA, yang bertujuan untuk menutup jurang gender dalam pasaran kerja,” kata Mathew.
Pada 5 Mac, Kementerian Sumber Manusia, melalui agensinya TalentCorp, memperkenalkan Wanita MyWIRA, sebuah platform yang menggabungkan program pemberdayaan wanita.
Inisiatif Wanita MyWIRA oleh TalentCorp akan menggunakan platform MyNext bagi penilaian, mencipta pangkalan data yang terpusat untuk tenaga kerja wanita. Usaha lain termasuk senarai pekerjaan kritikal dan meningkatkan kerjasama industri-akademik untuk sokongan wanita.
Wanita aset tenaga kerja
Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Nancy Shukri, menegaskan peranan bernilai yang wanita mainkan sebagai aset penting dalam tenaga kerja.
Menurut Nancy, ramai wanita di Malaysia mempunyai kelayakan yang tinggi, berbakat dan mampu memberikan sumbangan besar, termasuk ramai yang memegang jawatan sangat tinggi.
“Apabila kita perhatikan data, ia menunjukkan ramai wanita meninggalkan tenaga kerja. Pertama, kerana mahu menjaga keluarga. Mereka ada anak atau orang tua yang perlu dijaga.
“Jadi mereka berhenti kerja. Kerajaan kini telah menetapkan sasaran 60% wanita untuk kembali ke pasaran buruh dalam tempoh 10 tahun,” katanya.
Mencapai kadar penyertaan wanita dalam pasaran buruh sebanyak 60% adalah antara tujuh penanda aras diterangkan dalam Kerangka Ekonomi Madani, diperkenalkan tahun lalu oleh Perdana Menteri Anwar Ibrahim.
Menurut Jabatan Perangkaan, penyertaan wanita dalam tenaga kerja mencecah 56.3% setakat Jun tahun lalu, berbanding lelaki, iaitu 82.9%.
Ini bermakna Malaysia melaporkan peratusan wanita dalam tenaga kerja yang terendah di Asia Tenggara, berbanding Kemboja (74.0%), Singapura (59.4%), dan Thailand (59.0%).
Nancy berkata, kementerian dan agensi kerajaan lain sedang melaksanakan beberapa inisiatif penting untuk memperkasakan wanita dalam tenaga kerja, serta kepimpinan.
Tema Hari Wanita Antarabangsa tahun ini ialah “Invest in Women: Accelerate Progress”.
TalentCorp turut menganjurkan Minggu Pemerkasaan Wanita dari 2 hingga 9 Mac, dengan beberapa siri aktiviti termasuk konvensyen berkenaan, yang mula diadakan pada 2021.
Pendaftaran untuk Konvensyen Kerjaya Wanita, yang akan dibuka dari 9 pagi hingga 5 petang adalah percuma dan boleh dilakukan di sini.